Skip to main content

Bola Sepak

Griezmann tiada dalam radar Barca, De Ligt masih belum pasti

griezmann.jpg
Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, mendedahkan bintang Atletico Madrid, Antoine Griezmann, tiada dalam perancangan pasukannya sambil enggan mengesahkan pengambilan kapten Ajax, Matthijs de Ligt.

Griezmann dikaitkan dengan Barca menjelang Piala Dunia tahun lalu sebelum pemain itu mengambil keputusan untuk kekal bersama Atletico.

Namun, spekulasi mengenai perpindahannya ke Camp Nou kembali bertiup kencang.

Bagaimanapun, Bartomeu mendedahkan penyandang juara LaLiga, Barca, tidak berminat lagi untuk mengikat pemain berusia 28 tahun itu -- yang masih memiliki kontrak hingga 2023.

"Griezmann merupakan pemain Atletico dan dia masih memiliki kontrak (dengan mereka)," katanya  kepada TVE.

"Saya menggemari apabila pemain terbaik beraksi di Sepanyol kerana ia merupakan nilai besar buat LaLiga Santander, sebagai contoh untuk mendapatkan penaja.

"Jika Griezmann mahu menyertai kami, dia perlu berbincang dengan jurulatihnya, namun namanya tiada dalam senarai kami.

"Terdapat banyak spekulasi yang ditimbulkan pihak media, namun dia tiada dalam senarai kami dan dia juga tidak menghubungi Barcelona," katanya.

Pemain yang berada dalam radar Barca adalah pertahanan tengah Ajax dan Belanda, De Ligt, yang terus mencuri tumpuan pasukan-pasukan besar Eropah.

Barca telah menandatangani seorang lagi bintang Ajax, Frenkie de Jong -- yang akan menyertai pasukan itu musim depan -- dan pasukan Bartomeu itu dilaporkan sudah bersedia untuk berbelanja besar bagi mendapatkan De Ligt daripada gergasi Belanda itu.

"Kemasukan De Jong sepatutnya dilakukan pada musim panas, namun terdapat banyak tekanan daripada kelab-kelab lain dan kami mahu mendahului mereka.

"Kami mempunyai hubungan baik dengan Ajax.

"Tentang De Ligt pula, saya tidak tahu apa yang akan terjadi.

"Dia mungkin akan berada dalam pasaran dan selepas kami mengadakan perbincangan dengan jurulatih, kami akan menilai semula sama ada kami mahu mendapatkannya atau tidak.

"Gaya permainannya amat sesuai dengan pasukan ini dan saya menggemarinya.

"Ajax merupakan pasukan pembangunan yang menjual pemain, namun kami belum mengadakan sebarang perbincangan," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video