Skip to main content

Bola Sepak

Griezmann rasa bertuah pernah terima sentuhan Simeone

antoine-griezmann-and-diego-simeone-cropped_1xwmmzu806bsr12ie3dcps7iax.jpg
Bintang baru Barcelona, Antoine Griezmann, memberikan pujian kepada pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, di atas sumbangan terhadap prestasinya dalam beberapa tahun terakhir dan berkata dia bertuah dapat beraksi di bawah bimbingan pengurus dari Argentina itu.

Griezmann melengkapkan perpindahan bernilai EUR120 juta (RM553 juta) ke Barca minggu lalu selepas menamatkan tempoh lima tahun bersama Atletico di bawah kendalian Simeone.

Perpindahan itu mencetuskan kontroversi apabila Atletico mendakwa mereka sepatutnya dibayar EUR200 juta (RM922 juta) kerana Griezmann dan pasukan barunya itu mencapai persetujuan sebelum 1 Julai, sekali gus termaktub dalam klausa perpindahan.

Barca yakin tiada bukti sebarang perjanjian dilakukan dan walaupun ketegangan itu masih belum reda, Griezmann tampil memberi pujian buat Simeone.

"Saya bertuah dapat belajar daripada Simeone. Terima kasih kepadanya, saya telah beraksi di peringkat sangat tinggi," katanya.

"Di Atletico, tiada hari cuti. Ia sangat pentingkan fizikal dan juga kerja keras dalam taktikal. Tiada siapa dibenarkan mengalah."

Griezmann memenangi Liga Europa, Piala Super Eropah dan Piala Super Sepanyol di Atletico tetapi bintang Perancis itu kecewa di pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2016.

Seteru setempat, Real Madrid, menang dalam aksi tersebut menerusi penentuan sepakan penalti selepas Griezmann sekadar melihat bola tendangan penalti yang dilakukannya dalam permainan sebenar terkena palang.

"Saya tahu jika saya menjulang Liga Juara-Juara dengan Barca, ia tidak akan memadamkan kepedihan tewas dalam final bersama Atletico," tambahnya.

"Untuk peminat dan rakan sepasukan, ia detik yang sukar."

Advertisement

Must Watch Video