Skip to main content

Bola Sepak

Griezmann penting untuk masa depan Atletico -- Simeone

griezmann.jpg
ATLETICO MADRID 3 VALENCIA 2

Ketua jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, menjelaskan tentang kepentingan Antoine Griezmann dengan berkata dia berharap penyerang itu dapat memaparkan satu lagi kempen cemerlang musim depan.


Griezmann menjaringkan golnya yang ke-15 dalam LaLiga musim ini ketika Atletico menewaskan Valencia 3-2 di Wanda Metropolitano, awal pagi tadi.

Penyerang kebangsaan Perancis itu terus dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona, yang kini berkelebihan sembilan mata di puncak LaLiga dengan hanya berbaki empat perlawanan.

Bagaimanapun, Simeone berkata Griezmann, yang mengikat kontrak sehingga 2023, masih berperanan penting dalam skuad Atletico musim depan.

"Dia pemain yang amat penting buat masa ini dan masa depan kelab ini," katanya kepada Mundo Deportivo.

"Dia salah seorang kapten kami dan kami berharap dia akan terus memberikan yang terbaik musim depan."

Jaringan Angel Correa pada minit ke-81 memberikan kemenangan buat Atletico, yang membuatkan Valencia kekal di tangga kelima liga -- dua mata di belakang Getafe yang sudah beraksi lebih satu perlawanan.

Griezmann berkata pasukannya mahu menamatkan musim dengan mata yang hampir dengan Barcelona ketika skuad bimbingan Ernesto Valverde itu sudah menghampiri kejuaraan.

"Kami masih memiliki beberapa perlawanan untuk dihadapi," katanya kepada beIN SPORTS.

"Kami akan melihat bila mereka akan melakukannya.

"Jika anda tidak boleh menjadi juara, maka jadi pasukan kedua terbaik.

"Kami mahu menghampiri serapat mungkin agar satu hari nanti, kami akan menjadi juara," ujarnya.

Pengendali Valencia, Marcelino, kekal berharap pasukannya akan menamatkan musim di tangga empat teratas dengan  Eibar, Huesca, Deportivo Alaves dan Real Valladolid akan menanti mereka dalam baki perlawanan musim ini.

"Kami sedar kami memiliki lebih perlawanan.

"Saya tidak percaya kepada kalendar.

"Kekalahan terakhir kami adalah kepada Rayo (Vallecano), yang membuatkan kami berfikir bahawa setiap perlawanan memerlukan keperincian.

"Ia tidak akan dapat ditentukan sehingga penghujung musim.

"Kami akan beraksi di laman sendiri Ahad ini dan kami perlu menang.

"Ia perlawanan yang amat penting dan memerlukan usaha.

"Persaingan merebut empat tangga teratas amat sengit," katanya.

Advertisement

Must Watch Video