Skip to main content

Bola Sepak

Griezmann lalui hari penting -- Valverde

barcelona-cropped_hnjof5msw7xc1s8gymy9mo70r.jpg
Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, memuji Antoine Griezmann yang menampilkan aksi memukau ketika kemenangan 5-2 ke atas Real Betis dalam aksi LaLiga, awal pagi tadi.

Griezmann menghasilkan dua jaringan pertamanya buat Barca dalam aksi di Camp Nou itu.

Ketiadaan Lionel Messi, Luis Suarez dan Ousmane Dembele akibat kecederaan memaksa penyerang itu mengetuai kelab untuk meraih kemenangan pertama musim ini.

Valverde memuji aksi yang dipamerkan Griezmann selepas penggempur itu turut menghasilkan satu bantuan gol dan berpendapat dia telah membantu pasukan apabila diperlukan.

"Saya perlu katakan ia menjadi hari penting buat Griezmann berdasarkan kecederaan yang kami hadapi. Dia menunjukkan reaksi hebat," kata pengurus itu.

"Dia turun sehingga ke tengah untuk membantu dan memberikan impak. Kami tahu jika penyerang turun ke bawah, kami lebih berpeluang untuk menang."

Messi sedang bekerja keras untuk kembali daripada kecederaan betis tetapi bintang Argentina itu terlepas aksi menentang Betis.

Valverde, yang tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain berusia 32 tahun itu, memberitahu: "Tiada apa yang positif. Dia masih belum pulih daripada kecederaan itu.

"Kami telah katakan bahawa kami tidak akan tergesa-gesa. Apa yang kami cuba lakukan adalah mengelak kecederaan berulang."

 

Advertisement

Must Watch Video