Skip to main content

Bola Sepak

Gray padam jaringan bersejarah Long

shane-long.jpg
WATFORD 1 SOUTHAMPTON 1

Penyerang Southampton, Shane Long, menjaringkan gol terpantas dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, namun Andre Gray menyamakan kedudukan pada lewat permainan untuk Watford meraih keputusan 1-1 di Vicarage Road, awal pagi tadi.


Pemain kebangsaan Republik Ireland, Long, memberikan tekanan ketika Craig Cathcart mahu mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sebelum melakukan rembatan kencang yang melintasi kawalan penjaga gol Watford, Ben Foster, hanya selepas tujuh saat perlawanan bermula.

Rekod sebelum ini dipegang Ledley King, yang menjaringkan gol di bawah tempoh 10 saat ketika membantu Tottenham menewaskan Bradford City pada 2000.

Foster dua kali menafikan percubaan Nathan Redmond sebelum Gray meledak gol penyamaan pada minit ke-90 untuk memastikan kedua-dua pasukan tidak pulang dengan tangan kosong.

Pungutan satu mata berkenaan meletakkan skuad kendalian Ralph Hasenhuttl, Southampton, berkelebihan enam mata di depan pasukan di tangga ke-18, Cardiff City, manakala Watford memintas Everton untuk menduduki tangga ketujuh.

Watford memberikan respons selepas jaringan bersejarah Long dengan Gray menguji Angus Gunn menerusi percubaan dari jarak 12 ela dan Gerard Deulofeu melakukan rembatan yang tersasar jauh.

Long turut melakukan tandukan yang tersasar sementara percubaan terbaik Redmond dinafikan Foster.

Penjaga gol Watford itu sekali lagi bertindak tangkas untuk menafikan percubaan kedua Redmond sebelum Ryan Bertrand melakukan rembatan yang terkena tiang menjelang waktu rehat.

Foster menepis keluar bola sepakan percuma James Ward-Prowse pada 10 minit terakhir perlawanan sebelum Gray melakukan penyudah jarak dekat pada minit ke-90 untuk mengikat kedudukan buat skuad kendalian Javi Gracia itu.

Advertisement

Must Watch Video