Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Granqvist sukar lelap mata bukan kerana Kane

granqvist.jpg
Andreas Granqvist tidak dapat melelapkan mata menjelang pertemuan suku akhir Piala Dunia 2018 menentang England malam esok, namun ia bukanlah disebabkan kelibat Harry Kane yang kini di kemuncak prestasi. 

Sebelum sidang media Sweden diadakan di Arena Samara hari ini, isteri Granqvist melahirkan anak kedua pasangan berkenaan di kampung halaman sambil pertahanan itu gembira untuk berkongsi berita bahawa isteri dan anak perempuannya dalam keadaan sihat.

Pemain England, Fabian Delph, baru-baru ini kembali ke England untuk menyambut kelahiran anak ketiganya manakala skuad Denmark mengutip dana untuk membolehkan Jonas Knudsen balik untuk melawat kelahiran anaknya yang dilahirkan kurang matang. 

Granqvist, bagaimanapun, dipesan supaya kekal di Russia oleh isterinya dalam misi Sweden mengintai separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun.

"Ia masa yang tepat. Saya tidak tidur malam tadi, maka saya gembira ia berlaku sekarang," kata Granqvist.

"Isteri saya menempuhi detik yang baik di rumah, anak perempuan dan isteri saya sedang melakukan yang terbaik dan sempena perlawanan esok, saya akan memberikan segala-galanya dan berharap kami akan mendapat hasil terbaik yang kami buru.

"Kelahiran anak perempuan merupakan perkara paling indah yang boleh anda lalui. Ini ibarat mimpi buat setiap pemain untuk beraksi dalam suku akhir Piala Dunia, saya akan cuba menikmatinya dan saya tidak sabar lagi untuk perlawanan esok serta memberikan yang terbaik. Saya teruja untuk meneruskan perjuangan."

Ketua pasukan Sweden itu akan menjadi lawan kepada rakan sejawatannya, Kane, yang meledak penalti ketika menentang Colombia untuk koleksi gol keenamnya dalam kempen ini, berkelebihan dua gol daripada Romelu Lukaku dari Belgium.

Granqvist memuji pertahanan pasukannya yang teratur, namun sedar mereka tidak boleh leka terhadap pergerakan penyerang Tottenham berkenaan yang produktif.

"Kami mempunyai kekuatan di keseluruhan pertahanan. Kami memberi komitmen 100 peratus dan kami mempunyai gaya serangan tersendiri," katanya.

"Inilah sebabnya mengapa kami telah memenangi kebanyakan perlawanan kami menerusi situasi bola mati, kami mantap.

"Kami tahu mereka mempunyai Harry Kane yang begitu berbahaya di dalam petak penalti sementara sekali sekala kami pula memperoleh kesempatan melancarkan hantaran silang yang menuntut kehandalan kami sambil memastikan mereka tidak mendapatkan khidmat yang mereka perlukan."

Separuh daripada gol Kane di Russia hadir adalah melalui penalti manakala Granqvist menjaringkan dua gol dalam situasi serupa dalam saingan Kumpulan F, begitupun pemain tengah tersebut tidak berminat untuk membincangkan siapa lebih hebat dalam sepakan dari jarak 12 ela itu. 

"Setakat ini, (rekod penalti) kami berdua 100 peratus, jadi kami akan lihat selepas perlawanan esok," kata Granqvist.

"Tetapi Kane sangat mahir, bukan hanya dengan penalti, malah handal dalam segala aspek. Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar tetapi kami akan melakukan segala-galanya untuk mengekangnya."

Advertisement

Must Watch Video