Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Gol laman lawan bawa Kedah ke final

kedah-fa-cup_1.jpg
FELDA UNITED 3 KEDAH 2
(Agregat 3-3, Kedah ke final menerusi gol laman lawan)

Kedah berdepan waktu getir sebelum melangkah ke final Piala FA apabila tewas 2-3 kepada Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, sebentar tadi.


Jelas kemenangan 1-0 dalam perlawanan pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, minggu lalu memberikan kelebihan buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu untuk mara ke final menerusi undang-undang gol di laman lawan selepas kedudukan agregat terikat 3-3.

Fernando Rodriguez dan Farhan Roslan meletakkan skuad Lang Merah itu selesa dengan kelebihan dua gol dalam babak pertama, namun The Fighters bangkit menerusi jaringan Thiago Aquino, S. Chanturu dan Hadin Azman dalam babak berikutnya.

Kedah memperoleh sepakan penalti pada minit ke-24 apabila pengadil, Zamzaidi Katimin, mengesan Aquino menahan percubaan rendah Zaquan Adha Abdul Radzak dengan menggunakan tangan.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Rodriguez untuk menewaskan Norazlan Razali bagi memberikan gol pertama buat skuad Lang Merah itu.

12 minit kemudian, Farhan memaparkan teknik kaki kiri yang tinggi untuk merobek gawang Felda United buat kali kedua.

The Fighters kembali memperkemaskan aksi dalam babak kedua dan usaha itu berhasil apabila Aquino, yang menerima hantaran ke tengah Hadin dalam kawasan penalti, melakukan rembatan deras ke jaring Kedah pada minit ke-65.

Jaringan itu memberikan suntikan semangat buat skuad kendalian Nidzam Jamil itu sebelum Chanturu menghasilkan penyudah kaki kiri dari sebelah kanan untuk kembali mengikat kedudukan pada minit ke-72.

Hadin Azman menjaringkan gol ketiga The Fighters menerusi ruang sempit di sebelah kiri gawang Ifwat Akmal Che Kassim, namun ia belum cukup untuk menafikan kemaraan Kedah yang memiliki kelebihan dua gol di laman lawan.

Advertisement

Must Watch Video