LIVERPOOL 2 LEICESTER 0
Diogo Jota disifatkan sebagai sukar dirantai selepas penyerang Liverpool itu menyalakan harapan mereka dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menang 2-0 ke atas Leicester City.
Bekas pemain Wolves itu menyumbangkan kedua-dua gol di Anfield berkenaan untuk menjadikan melebarkan jumlah golnya musim ini kepada 17 gol, pencapaian terbaiknya dalam semusim di England.
Liverpool menguji Kasper Schmeichel sembilan kali dan pemain Denmark itu memastikan Leicester masih dalam perjuangan sebelum Jota meledak gol keduanya di penghujung permainan.
Lantas, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata Jota yang dipancing daripada Wolves 18 bulan lalu berpotensi menjadi penyudah klinikal.
"Kami berasakan ia boleh berlaku," katanya.
Melihat kepada prestasi anak buahnya awal pagi tadi, tambah Klopp: "Ia bukanlah perlawanan terbaik yang pernah kami jelmakan tetapi ia sudah cukup untuk kami menjadi pemenang yang wajar pada malam ini."
Mohamed Salah pula membuat penampilan cemerlang selama 30 minit ketika dimasukkan -- empat hari selepas mengalami kekecewaan dalam final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bersama Mesir.
Salah berpeluang untuk mencetak hatrik apabila percubaannya terkena palang selain dipatahkan Schmeichel, manakala muka baru, Luis Diaz, melakukan penampilan sulungnya dalam EPL.
Diaz menerima tepukan hangat apabila dia digantikan pada lewat permainan selepas mempamerkan kelincahan di bahagian kiri tiga penyerang serangkai Liverpool.
Klopp mengakui terkejut pemain berusia 25 tahun itu dapat menyesuaikan diri segera lalu memberitahu BT Sport: "Ia kelihatan semula jadi. Ia sangat pantas. Ia adalah satu persembahan yang luar biasa untuk aksi sulung dalam barisan utama, ia amat mengagumkan. Dia terlibat dalam banyak detik yang baik."
Kemenangan Liverpool itu memastikan mereka untuk terus mengekori Manchester City dengan sembilan mata sementara memiliki kelebihan satu perlawanan berbanding pendahulu berkenaan, tetapi Klopp berkata: "Saya tidak fikir kami sudah mendekati mereka."
Apabila Jota menemui sentuhan penyudah, dia sentiasa di pihak yang menang dalam setiap 16 perlawanan di tempat sendiri EPL -- tujuh untuk Wolves, sembilan untuk Liverpool -- dan ketajamannya di dalam kotak penalti sentiasa membuatkan Leicester tidak senang duduk.
"Saya sentiasa cuba menyusup ke ruang berbahaya," katanya.
"Ia adalah rekod jaringan terbaik saya setakat ini dan saya mahu menambahnya lagi, terus membantu pasukan."
Shaiful Shamsudin
Fri Feb 11 2022