Skip to main content

Bola Sepak

Gergasi Merah lebur rekod bersih TRW

kel.jpg
KELANTAN 0 SELANGOR 2

Hajat tuan rumah, Kelantan, meneruskan rekod bersih sepanjang aksi pramusim lebur apabila tumbang 2-0 di tangan Selangor dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

The Red Warriors (TRW) memulakan permainan dengan penyerang import, Felix Chidi Odili, yang menerima umpanan kapten, Nik Akif Syahiran Nik Mat, hampir menjaringkan gol pendahuluan, namun sepakan kencang dalam kawasan penalti Selangor tersasar pada minit ketujuh.

Selangor mengatur gerakan lebih tersusun dan pemain import, Sandro Da Silva Mendonca, berjaya melepaskan rembatan kencang tetapi terus ke dakapan Mohamad Faredzuean Kamaruddin pada minit ke-24.

Bersambung babak kedua, Muhammad Safuwan Baharudin merembat kencang menewaskan Faridzuean untuk gol pembukaan pelawat pada minit ke-50 selepas menerima bola daripada sepakan percuma Sandro.

Pengendali TRW, Yusri Che Lah, memasukkan penyerang import ujian kelahiran Liberia, Christopher Jackson, dan mengeluarkan Odili untuk menguatkan jentera serangan bagi memburu gol penyamaan pada minit ke-60.

Bagaimanapun, kelekaan benteng tuan rumah membawa padah apabila sepakan sudut Sandro dirembat kencang pertahanan import, Taylor Regan, untuk gol kedua Gergasi Merah pada minit ke-63.

Jentera serangan TRW menggandakan asakan mencari gol sagu hati, malangnya setiap percubaan berjaya dihalang penjaga gol kebangsaan, Khairulazhan Khalid.

Kredit Foto: Kelantan FA




Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found