Skip to main content

Bola Sepak

Gattuso: Milan perlu perbaiki sentuhan penyudah

gennaro-gattuso.jpg
Gennaro Gattuso mahu AC Milan lebih berbisa selepas gagal merakamkan kemenangan ketika berdepan Empoli dalam saingan Serie A.

Kegagalan Alessio Romagnoli bertahan dengan baik menyaksikan sepakan penalti dihadiahkan kepada Empoli bagi meraih satu mata ketika seri 1-1, semalam.

Lucas Biglia membuka jaringan pada minit ke-10 tetapi Milan gagal mengekalkan kedudukan tersebut, sekaligus meraih enam mata selepas lima perlawanan.

Ketua jurulatih Milan, Gattuso, enggan menyalahkan Romagnoli tetapi meluahkan kekecewaannya kerana sentuhan penyudah yang kurang berbisa dipamerkan oleh Rossoneri.

"Buat masa ini, saya tidak boleh mengatakan bahawa kami memiliki skuad yang bagus. Skuad yang bagus memiliki sentuhan yang lebih klinikal dan mantap," katanya.

"Kami berbincang mengenai keputusan yang tidak menyebelahi kami. Kami perlu pertingkatkan sentuhan jaringan kerana kami bergelut.

"Tiada apa yang boleh saya katakan kepada Romagnoli. Jika saya melakukannya, saya juga perlu menyatakan terhadap pemain-pemain yang berpeluang mencipta jaringan.

"Kesilapan berlaku dalam bola sepak tetapi kami perlu mengambilnya dan mengelak daripada mengulanginya," tambahnya.

Bekas pertahanan Roma, Romagnoli, memohon maaf di atas kegagalan pasukan meraih tiga mata.

"Saya kecewa kerana saya telah melakukan kesilapan dan bertanggungjawab sepenuhnya.

"Tanpa kesilapan ini, kemenangan pasti memihak Milan. Buat masa ini, kami perlu mempertingkatkan mutu permainan dan kekal bersatu."
 

Advertisement

Must Watch Video