Skip to main content

Bola Sepak

Formasi 3-4-3 masih belum efektif -- Maniam

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

p-maniam.jpg
Percaturan pengendali Selangor, P. Maniam, mempertaruhkan Andik Vermansyah serta Amri Yahyah dalam kesebelasan utama menentang Pahang, malam tadi, tidak menjadi apabila mereka tewas 2-0 kepada Pahang di Shah Alam.

Maniam tetap menurunkan Andik meskipun menyedari pemain antarabangsa Indonesia itu masih belum cergas sepenuhnya.

Bagaimanapun, Andik tetap mempamerkan beberapa sentuhan kemas selain berjaya mencipta kombinasi baik bersama Francis Forkey Doe manakala Amri -- yang berhijrah ke Selangor dari Melaka -- masih memerlukan masa untuk membentuk keserasian, khususnya dalam mencari posisi sesuai buat pemain berpengalaman itu.

"Mereka sudah memberikan yang terbaik, cuma tidak berapa efektif kerana pemain masih cuba menyesuaikan diri dengan sistem 3-4-3 ini.

"Mungkin kami perlu melakukan beberapa perubahan bagi memastikan pemain lebih memahami sistem ini," ujarnya.

Sementara itu, pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh, menyifatkan kemenangan ke atas Selangor dapat membantu pasukannya melupakan kekecewaan tewas dalam final Piala FA berdepan Kedah, minggu lalu.

Ketiadaan Kiko Insa yang digantung perlawanan nyata tidak menjejaskan rentak anak buahnya dengan bahagian tengah mendominasi hampir keseluruhan permainan.

Pergerakan Mohamadou Sumareh juga sukar dikekang selain keberkesanan Matheus Alves yang meyumbang dua gol bagi memastikan Pahang meraih tiga mata.

"Ini yang saya selalu terapkan ketika latihan, pemain saya nampak cukup berdisiplin. Kemenangan ini sekurang-kurangnya menyuntik semangat baru dalam kalangan pemain," kata Dollah.

Advertisement

Must Watch Video