Skip to main content

Bola Sepak

Forlan umum persaraan

diegoforlan.jpg
Bekas penyerang Uruguay dan Manchester United, Diego Forlan, mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak profesional.

Forlan, 40, menyertai Kitchee di Hong Kong sebagai kelab terakhirnya sebelum melakukan penampilan terakhir, Mei tahun lalu.

Penyerang itu, yang turut pernah mewakili Inter Milan dan Atletico Madrid sepanjang karier gemilangnya di Eropah, mengesahkan persaraannya awal pagi tadi.

"Ia bukan sesuatu yang mudah, saya tidak mahu saat ini tiba, namun saya sedar ia pasti akan tiba," katanya kepada Telemundo.

"Saya membuat keputusan untuk tidak lagi bermain bola sepak secara profesional."

Forlan memulakan karier profesionalnya dengan menyertai Independiente di Argentina sebelum melengkapkan perpindahan £6.9 juta (RM35.2 juta) ke United pada Januari 2002.

Dia memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama pasukan itu pada musim 2002-03 dan memenangi Piala FA dalam musim berikutnya sebelum menyertai Villarreal pada 2004.

Forlan mengecap kegemilangan kariernya dalam LaLiga dengan menjaringkan 128 gol daripada 240 perlawanan bersama Villarreal dan Atletico, selain turut membantu Atletico menjulang kejuaraan Liga Europa musim 2009-10.

Dia turut akan dikenang sebagai salah seorang penyerang terbaik Uruguay dengan menjaringkan 36 gol dalam 112 penampilan antarabangsa -- memenangi Copa Amerika pada 2011 selepas meraih Anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2010.

Rakan senegaranya, Luiz Suarez, turut merakamkan penghargaan buat penyerang itu.

"Sebahagian daripada sejarah bola sepak Uruguay. Terima kasih di atas segala momen yang tidak dapat dilupakan yang telah anda berikan kepada warga Uruguay, sama ada dalam pasukan kebangsaan atau pasukan yang anda wakili," ciap bintang Barcelona itu dalam Twitter.

"Saya sentiasa berterima kasih terhadap apa yang telah anda ajarkan kepada saya, baik di atas mahupun di luar padang.

"Anda sentiasa akan menjadi legenda di Uruguay.

"Semoga memperoleh kejayaan dalam cabaran yang mendatang, sahabatku."

Advertisement

Must Watch Video