Skip to main content

Bola Sepak

Florenzi kekal di Roma untuk jangka masa panjang

florenzi.jpg
Ketua pasukan AS Roma, Alessandro Florenzi, melanjutkan kerjaya yang sudah lama dibina dengan kelab itu apabila menandatangani kontrak baru selama lima tahun untuk kekal sehingga 2023.

Masa depan pemain sayap serba boleh itu menjadi subjek spekulasi memandangkan kontrak terdahulunya akan berakhir penghujung musim ini, apatah lagi Pengarah Sukan, Monchi, mengakui dia tidak pasti mengenai hala tuju Florenzi.

Bagaimanapun, perjanjian baru itu bermakna produk akademi Roma berusia 27 tahun berkenaan berpeluang untuk melanjutkan lagi rekod penampilannya bersama kelab itu sebanyak 222 kali.

Dia mempunyai koleksi 25 gol, termasuk jaringan jarak jauh yang tidak dapat dilupakan ketika menentang Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) 2015.

"Hari ini pasti merupakan hari yang bahagia buat saya, hari yang penting juga -- saya sangat berbangga, gembira kerana dapat terus menyarung jersi ini dan mewakili bandar ini," kata pemain antarabangsa Itali itu. 

"Saya mahu menjadi contoh kepada pemain yang kami miliki ketika ini serta pada masa depan.

"Anda perlu menimbang segala-galanya tetapi bukanlah kerana ia didorong oleh wang. Wujud kebanggaan, semangat dan emosi untuk mewakili kelab ini dan menyarung jersi ini.

Monchi menambah: "Saya sangat gembira dengan keputusan Alessandro, kami berdua sentiasa ingin meneruskan cerita indah ini.

"Bagi kami, Alessandro bukan setakat pemain penting -- malah salah seorang pemimpin kami."

Roma akan memulakan kempen Serie A dengan menentang Torino pada 19 Ogos ini dan semifinalis UCL musim lalu itu berhasrat untuk memperbaiki pencapaian tempat ketiga Serie A musim lalu. 
 

Advertisement

Must Watch Video