Skip to main content

Bola Sepak

Flick simpati nasib Coutinho, pertahan kelantangan Kimmich

coutinhocropped_ra7nprqetdct1eotmrxrg1axx.jpg
Pengendali Bayern Munich, Hansi Flick, bersimpati dengan Philippe Coutinho yang melalui situasi sukar dan berpendapat seluruh pasukan perlu membantunya.

Coutinho, 27, menyertai Bayern secara pinjaman sejak awal musim ini selepas bergelut untuk mencetus impak di Barcelona tetapi pemain Brazil itu lebih menyinar di pentas Bundesliga.

Dia hanya meraih 12 penampilan dalam kesebelasan utama dan wujud laporan Bayern tidak bercadang untuk menggunakan pilihan pembelian tetap bernilai EUR120 juta (RM544 juta).

Sebelum ini, Barca membayar EUR160 juta (RM725 juta) kepada Liverpool buat Coutinho pada Januari 2018 tetapi kini mereka sedia menanggung kerugian sekitar EUR70 juta (RM317 juta) untuk melepaskan khidmat pemain Brazil itu.

Coutinho diketepikan daripada kesebelasan utama dalam aksi Bundesliga menentang Mainz dan Schalke baru-baru ini sambil Flick mengakui persembahan pemain tengah itu ketika menang 4-3 ke atas Hoffenheim dalam saingan DFB-Pokal patut menjadi lebih baik.

Namun, pengurus itu bersimpati dan mengakui ia menjadi satu cabaran untuk pemain baru menyesuaikan diri dalam pasukan seperti Bayern.

"Ia tidak mudah walaupun Coutinho mengharungi sesi latihan yang bagus bersama Bayern kebelakangan ini," katanya.

"Sudah tentu tidak semua perkara indah ketika berdepan Hoffenheim tetapi ia tidak terlalu buruk. Saya tidak fikir dia 100 peratus berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan tetapi Coutinho adalah pemain kami dan Bayern mahu membantunya.

"Saya pasti dia akan banyak membantu kami, jadi perlu tunggu dan lihat. Dalam setiap karier, ada naik dan turun. Tidak mudah beraksi dalam kelab besar seperti Bayern. Dia cergas dan saya dalam keadaan baik."

Sementara itu, Joshua Kimmich baru-baru ini menerima kritikan daripada legenda pasukan, Mehmet Scholl, susulan kelantangan pemain Jerman itu bersuara.

Tahun lalu, Kimmich mempertahankan Manuel Neuer dan menggesa Bayern meningkatkan prestasi susulan pemecatan Niko kovac sambil bulan lalu, dia mencadangkan agar kelab aktif dalam jendela perpindahan untuk mengatasi masalah kecederaan.

Namun, Flick terbuka dengan situasi itu dan pemain seperti Kimmich tidak menjadi satu masalah untuknya.

"Scholl dan saya sering bertukar idea dan perbualan itu sentiasa bagus," tambah pengurus itu.

"Itu pandangannya dan kebiasaannya ia berbeza dengan orang lain.

"Bagi kami, Kimmich adalah pemain penting. Dia adalah kunci utama dan saya suka pemain yang memberikan pendapat dan menjadi ketua. Dia di landasan terbaik dan saya sangat berpuas hati dengan perkembangannya."



Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found