Skip to main content

Bola Sepak

Firmino terlepas aksi dengan Barcelona

robertofirmino.jpg
Penyerang Liverpool, Roberto Firmino, akan terlepas aksi menentang Barcelona dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Anfield, awal pagi Rabu ini, selepas mengalami kecederaan otot.

Firmino dimasukkan pada penghujung permainan ketika pasukannya tewas 0-3 dalam separuh akhir pertama di Camp Nou, namun tidak tersenarai ketika The Reds menewaskan Newcastle United 3-2 dalam Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Brazil itu mungkin tidak akan beraksi lagi musim ini selepas pengurus pasukan, Jurgen Klopp, meminggirkannya daripada aksi menentang Barcelona.

"Dia masih belum bersedia untuk diturunkan Selasa (awal pagi Rabu) ini dan pemain lain akan ditentukan kemudian," kata pengendali kelahiran Jerman itu selepas pasukannya kembali ke puncak liga.

Ketiadaan Frimino memberikan kesan besar buat Liverpool selepas Mohamed Salah turut mengalami kecederaan kepala dalam perlawanan di St. James' Park, awal pagi tadi.

Pemain berusia 26 tahun itu telah menjaringkan 16 gol dalam kesemua kejohanan musim ini, termasuk empat dalam Liga Juara-Juara.

Dengan peluang Liverpool untuk mara ke final Kejohanan Eropah itu semakin tipis, skuad kendalian Klopp itu hanya memiliki satu perlawanan terakhir -- menentang Wolves di laman sendiri -- yang akan menentukan kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Advertisement

Must Watch Video