Skip to main content

Bola Sepak

Final Piala Negara-Negara Afrika: Dua rakan lama congak perhitungan

coach-final-afcon.jpg
Dua rakan lama, Aliou Cisse dan Djamel Belmadi, akan berperang sesama sendiri untuk mencipta sejarah apabila kedua-dua ketua jurulatih itu bertemu dalam final Piala Negara-Negara Afrika di Stadium Antarabangsa Kaherah, awal pagi esok.

Kredibiliti yang dimiliki Senegal kendalian Cisse dan Algeria bimbingan Belmadi sebagai dua pasukan terbaik edisi ini, tidak dapat dinafikan lagi kerana jika prestasi keseluruhan digabungkan, mereka hanya tewas sekali sepanjang kejohanan ini.

Kekalahan tunggal itu hadir ketika Algeria menewaskan skuad Terenga Lions itu 1-0 di peringkat kumpulan, namun Senegal kini berpeluang untuk menebus kegagalan itu.

Tetapi misi membalas dendam itu bukanlah bersandarkan kepada permusuhan kerana Cisse cukup mengenali Belmadi sebagai bekas seterunya dalam Ligue 1.

Kedua-dua jurulatih itu membesar di pinggir bandar Paris, Champigny-Sur-Marne, sementara Cisse, yang dilahirkan di Senegal, hanya tua sehari berbanding rakan sejawatannya itu.

Selepas melewati pelbagai perlawanan di peringkat remaja dalam saingan domestik Perancis dan sebagai pemain dalam Piala Negara-Negara Afrika, kedua-dua jurulatih itu akan kembali bersemuka untuk mencipta sejarah buat negara masing-masing -- Senegal mengharapkan kejuaraan pertama manakala Algeria tidak pernah menjulang kejuaraan itu selain edisi di laman sendiri.

"Saya masih belum bercakap dengan Aliou," kata Belmadi kepada wartawan.

"Ia bukan masa yang sesuai untuk bercakap dengannya, namun kami akan melakukannya selepas tamat perlawanan.

"Mungkin sebelum perlawanan juga, ia tidak menjadi masalah.

"Ia ironi yang luar biasa apabila dua pemuda yang membesar bersama-sama di Champigny-Sur-Marne akan berdepan sesama sendiri dalam final.

"Kami perlu melihat jika ada sesuatu seperti itu pernah berlaku sebelum ini.

"Kami pernah beraksi bersama selaku pemain muda di Paris. Kami membesar di bandar yang sama.

"Ia amat hebat apabila kami kini merupakan ketua jurulatih buat pasukan kebangsaan kami.

"Takdir telah menemukan kami dalam final.

"Ia memberikan rasa yang istimewa," katanya.

Cisse tetap mengutamakan tugasannya, namun mengakui kekalahan kepada Algeria sebelum ini telah menepati tujuannya untuk membenarkan Senegal mempelajari sesuatu bagi memperbaiki diri.

"Perlawanan kedua peringkat kumpulan merupakan kesilapan kami sendiri dan kekalahan itu membenarkan kami untuk lebih bersatu untuk menjadi lebih kuat.

"Jumaat ini (awal pagi esok) adalah final dan ia perlawanan yang istimewa.

"Namun, tidak perlu memberikan ucapan seperti mahu berperang.

"Kami kekal dalam bola sepak.

"Kami amat tenang dan fokus," katanya.

Senegal akan beraksi tanpa Kalidou Koulibaly yang digantung, namun Cisse menegaskan dia sudah mempunyai perancangan tanpa bintang Napoli itu.

"Kalidou antara pemain terbaik dunia di posisinya, namun kami mempunyai penyelesaian untuk menggantikannya.

"Kami sudah bersedia," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video