Skip to main content

Bola Sepak

Final Piala FA: Penjualan tiket berjalan lancar

tikets.jpg
Debaran perlawanan akhir Piala FA di antara Pahang dan Kedah kian terasa apabila jualan tiket di Kuantanmendapat sambutan menggalakkan daripada penyokong Tok Gajah yang jelas tidak mahu melepaskan aksi Sabtu ini.

Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) memperuntukkan 30,000 tiket bagi perlawanan akhir yang dijual di Stadium Darulmakmur.

Mula dijual hari ini, tinjauan mendapati penyokong sudah mula beratur di perkarangan stadium sejak awal pagi walaupun kaunter tiket dibuka jam 10 pagi.

Penjualan tiket berjalan lancar dengan PBNP mengehadkan empat tiket untuk seorang pembeli dan satu kaunter khas untuk wanita.

"Keadaan kali ini memang terkawal, tidak seperti sebelum ini berebut-rebut kerana ada pihak yang membuat kawalan.

"Sebelum ini, ada yang sudah beratur sejak subuh lagi, tetapi ketika saya sampai 7 pagi tadi, keadaan terkawal," kata antara penyokong yang mendapatkan tiket di Kuantan.

"Kami akan bertolak bertolak beramai-ramai dari Kuantan pukul 10 pagi esok," kata seorang lagi penyokong Tok Gajah.

Sementara itu, di Stadium Darulaman, juga tiada kekecohan atau sebarang aduan tiket tidak mencukupi sepanjang penjualan. Setiap penyokong hanya dibenarkan membeli sebanyak tiga keping tiket.

Situasi ini jelas berbeza dengan penjualan tiket final Piala Malaysia tahun lalu di mana penyokong Kedah terpaksa berasak-asak untuk mendapatkan tiket di kaunter.

"Kalau ikutkan, saya nak datang lebih awal lagi sebab bimbang terpaksa berasak-asak membeli tiket.

"Alhamdulillah apabila saya sampai hari ini bersama rakan yang akan bertolak dengan tiga bas, urusan pembelian tiket berjalan dengan mudah tanpa ada masalah," kata seorang penyokong wanita.

"Mungkin tak ramai yang datang membeli di kaunter kerana sudah mendapatkan tiket menerusi kuota bas," kata seorang penyokong Hijau Kuning.

Dalam pada itu, tinjauan Nadi Arena di Stadium Melawati, Shah Alam mendapati sudah ramai membuat penebusan tiket selepas melakukan pembelian secara di atas talian, semalam.

Namun, sebahagian besar daripada mereka berharap sistem pembelian secara di atas talian dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

"Kami hanya dapat membuat pembayaran dalam proses pembelian selepas 30 minit. Untuk proses penebusan tiket, tiada masalah," kata seorang penyokong.

Aduan lain mengenai masalah pembelian di atas talian adalah sistem yang tidak stabil sehingga memaksa pembeli mencubanya beberapa kali.

Dalam masa sama, ada segelintir peminat menyuarakan agar peruntukkan tiket perlawanan akhir untuk peminat di Lembah Klang ditambah pada masa akan datang.

Advertisement

Must Watch Video