Ketua pasukan Kuala Lumpur City, Paulo Josue, menolak tepi sebarang pengiktirafan peribadi dengan memusatkan perhatiannya kepada kerjasama sepasukan.

Pemain kelahiran Brazil itu menyumbang lima gol sepanjang laluan skuad Warga Kota ke final antara zon Piala AFC bertemu wakil Uzbekistan, PFC Sogdiana, malam esok.

Walaupun pengendali, Bojan Hodak, masih mengunci mulut mengenai rencananya membabitkan pemain import, Josue menuntut kesemua rakan sepasukannya supaya bersedia agar mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

"Saya tidak kisah siapa yang akan menjadi penjaring Kuala Lumpur.




"Saya gembira menjadi penjaring terbanyak pasukan dalam Piala AFC tetapi kami juga memiliki pemain seperti Jordan (Mintah) dan Hadin (Azman) di bahagian serangan.

"Kami sebuah pasukan yang bekerja keras, saya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol asalkan kami mara," katanya di sidang akhbar hari ini.

Nadi Arena melaporkan Hodak masih berteka-teki mengenai pemilihan empat pemain import untuk pertemuan itu esok.

Apa pun, ramai beranggapan pengendali dari Croatia itu akan mengekalkan pemain yang sama iaitu Josue, Romel Morales, Jordan Mintah dan Giancarlo Gallifuoco tatkala khidmat penjaga gol, Kevin Mendonza, diketepikan sekali gus memberi laluan penjaga gol tempatan, Azri Ghani.

"Ramalan awal terhadap kami ialah cuma melepasi peringkat kumpulan.

"Kami kelab kerdil dan kemaraan ini sudah dianggap pencapaian yang hebat buat kami.




"Kami tidak tertekan esok, sebaliknya tekanan lebih menjurus kepada pasukan tuan rumah. Jadi ini mampu memberi kesempatan buat anak buah saya untuk turun memburu keputusan positif," katanya.

Saksikan secara langsung perlawanan ini dengan pra-rancangan pada jam 8:30 malam di saluran Astro Arena 802HD.