Skip to main content

Bola Sepak

Fikri anggap TRW mampu cabar takhta liga

fb_img_1580527430763.jpg
Penjaga gawang The Red Warriors (TRW), Mohammad Fikri Che Soh, menganggap persiapan skuad kali ini lebih baik menjelang musim baru Liga Perdana akhir bulan ini.

Katanya, beberapa siri persahabatan yang diharungi setakat ini membuktikan skuad kendalian Yusri Che Lah itu cukup bersedia dan mampu menjadi pencabar utama kejuaraan liga.

"Kami beraksi dengan baik dalam beberapa siri perlawanan persahabatan yang tujuannya untuk meningkatkan prestasi pemain.

"Ketua jurulatih (Yusri Che Lah) sentiasa ingatkan semua pemain supaya berikan yang terbaik dan jadikan kegagalan musim lepas sebagai pengajaran berguna.

"Insya-Allah, gabungan pemain tempatan (senior dan berpengalaman) dengan empat awang import yang berkualiti sudah pasti mampu jadikan TRW pencabar yang diawasi pasukan lain," katanya.

Mohammad Fikri yang juga bekas penjaga gawang Perlis, memuji sumbangan dua pemain baru, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Mohd Nazrin Mohd Nawi, yang mampu menguatkan cengkaman di bahagian tengah di samping membimbing pemain muda Kelantan.

"Mereka (Zaharulnizam dan Nazrin) menjadi enjin utama TRW di bahagian tengah dan sudah terbukti dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, penjaga gawang kelahiran Kota Bharu itu juga menganggap saingan merebut posisi nombor satu TRW makin sengit dan mencabar.

"Sudah pasti situasi ini baik untuk pasukan. Saya dan dua lagi penjaga gol senior (Faridzuean dan Abdul Ariff) akan berusaha gigih memikat hati jurulatih untuk disenaraikan sebagai kesebelasan utama.

"Namun, siapapun yang dipilih tidak penting berbanding kejayaan membantu TRW mencipta kemenangan dan memastikan gawang tidak bocor," katanya.


Kredit Foto: Kelantan FA



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found