Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam satu kiriman X malam tadi menyenaraikan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai antara 12 pasukan yang berpotensi untuk melayakkan diri ke saingan Piala Dunia Kelab 2025.

Dalam kiriman berkenaan, JDT diletakkan di tangga ke-11 dalam kelompok 12 pasukan elit Asia, antaranya Al Hilal SFC, Jeonbuk Motors, Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale.

Piala Dunia Kelab 2025 buat kali pertama akan menampilkan 32 kelab dari enam konfederasi dengan Amerika Syarikat akan bertindak sebagai negara penganjur.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) akan memperoleh 12 slot, diikuti Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dengan enam slot, disusuli Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) dan Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF), masing-masing dengan empat slot, dan satu slot buat Konfederasi Bolasepak Oceania (OFC).

FIFA meletakkan JDT sebagai pasukan yang berpotensi untuk merebut salah satu daripada empat slot AFC berkenaan dengan dua daripadanya telah menjadi milik juara Liga Juara-Juara Asia (ACL) edisi 2021, Al-Hilal, dan juara edisi 2022, Urawa Red Diamonds.

Juara ACL 2023/24 akan turut mendapat slot ke Amerika Syarikat sambil satu lagi slot pula akan ditentukan mengikut kedudukan ranking pasukan.