Skip to main content

Bola Sepak

Ferguson tinggalkan Everton untuk kembangkan karier pengurusan

ferguson.jpg
Legenda Everton, Duncan Ferguson, meninggalkan pasukan kejurulatihan Frank Lampard bagi mengembangkan karier kejurulatihannya.

Ferguson, yang menjaringkan 73 gol daripada 273 penampilan sepanjang bergelar pemain Everton, merupakan ahli pasukan kejurulatihan skuad utama kelab itu sejak 2014.

Dia pernah bekerja di bawah Roberto Martinez, Ronald Koeman, Sam Allardyce, Marco Silva, Carlo Ancelotti, Rafael Benitez dan yang terbaru, Lampard, di mana Everton tidak pernah mendapatkan kestabilan sepanjang era Farhad Moshiri.

Pada penghujung musim lalu, kemenangan 3-2 ke atas Crystal Palace menyaksikan Everton terselamat daripada penyingkiran untuk kekal bersaing dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, masalah kewangan menyaksikan mereka akan sekali lagi menghadapi satu musim sukar, di mana Richarlison sudah pun meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Tottenham manakala Dominic Calvert-Lewin pula dilaporkan sedang menarik minat beberapa kelab lain.
 
Lampard kini perlu menyesuaikan diri dengan kehilangan Ferguson, yang pernah dua kali menjadi pengurus sementara kelab itu.

"Ia merupakan keputusan yang besar buat saya," kata Ferguson dalam laman web rasmi Everton.

"Ia satu keputusan yang amat-amat sukar tetapi saya perlu melakukannya untuk mengambil langkah seterusnya dalam karier saya dan untuk mencari cabaran baru.

"Menjadi jurulatih sementara telah memberikan saya keyakinan untuk melangkah ke bidang pengurusan.

"Musim lalu musim yang sukar tetapi kelab ini sememangnya sedang bergerak ke haluar yang betul. Ia kelab yang luar biasa.

"Pasukan ini sedang berada di tangan yang betul dengan Frank selaku pengurus.

"Dia sememangnya berada di kelas pertama dan mahu saya kekal di sini.

"Saya akan sentiasa ada sebagai penyokong. Anak-anak saya sudah mendapatkan pas semusim dan saya akan kembali lagi ke sini," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video