Skip to main content

Bola Sepak

Felix, Costa, Morata beraksi amat baik, kata Simeone

simeone.jpg
LOKOMOTIV MOSCOW 0 ATLETICO MADRID 2

Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, memuji gandingan tiga penyerangnya, terutama Joao Felix, selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Lokomotiv Moscow dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Russia awal pagi tadi.


Felix menyertai Diego Costa dan Alvaro Morata dalam barisan permulaan skuad kendalian Simeone berkenaan dalam perlawanan kedua Kumpulan D itu.

Bagaimanapun, Atletico berdepan kesukaran untuk memecahkan kebuntuan sepanjang babak pertama sebelum Felix menamatkan kedegilan Lokomotiv dengan menyempurnakan bola muntah pada tiga minit pertama babak kedua.

Gol pemain berusia 19 tahun itu menjadikannya sebagai penjaring termuda Sepanyol dalam kejohanan itu dan dia turut terlibat dengan gol kedua Atletico yang disudahkan pemain tengah, Thomas Partey.

Simeone memuji kombinasi Felix, Costa dan Morata sambil menegaskan ketiga-tiga mereka perlu bekerjasama ketika pasukannya kehilangan penguasaan bola.

"Ketiga-tiga mereka beraksi dengan amat baik. Apa yang paling penting adalah mereka menyedari keperluan untuk bertahan kerana kami memerlukan keseimbangan di bahagian itu," katanya kepada wartawan.

"Kita semua tahu betapa berbisanya mereka di bahagian serangan tetapi kami perlu mengekalkan struktur pasukan."

Berkenaan perlawanan itu, Simeone berasakan kunci utama kemenangan adalah keupayaan mereka untuk membelah pertahanan lawan, yang gagal dilakukan dalam babak pertama.

"Lokomotiv Moscow bertahan dengan amat baik. Kami memperoleh peluang dalam babak pertama yang diselamatkan penjaga gol mereka.

"Kami lebih kemas dalam babak kedua dan dapat menjaringkan dua gol pada awal saingan," katanya.

Jaringan Felix pada minit ke-48 itu merupakan kejayaan pertamanya dalam Liga Juara-Juara Eropah dan gol itu turut membuka laluan untuk Atletico meraih kemenangan pertama selepas terikat 2-2 dengan Juventus dalam perlawanan pembukaan.

Advertisement

Must Watch Video