Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Felda sekampung bertahan di kubu

nidzam-jamil.jpg
"Kalau boleh saya panggil sekampung untuk bertahan."

Itu kata jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, yang tampak mengakui taktikal 'meletakkan bas' sebagai pendekatan paling realistik untuk pasukannya berdepan Kedah menjelang aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darulaman, malam esok.

Misi sukar menanti The Fighters di Alor Setar apabila bertemu pasukan handalan itu yang dibarisi rata-rata pemain berpengalaman.

Malah, kunjungan mereka ke sana juga tempang tanpa tiga tonggak utama, iaitu Thiago Junio Aquino dan Masaki Watanabe akibat penggantungan satu perlawanan manakala Khairul Amri Mohammad Kamal pula ditimpa kecederaan.

Jelas situasi itu meletakkan Nidzam di kedudukan tidak punya banyak pilihan selain mencanangkan pendekatan taktikal bertahan agar pasukannya tidak pulang dengan tangan kosong.

"Buat masa ini, (faktor) tidak dibolosi lebih penting dan menjaringkan gol itu adalah bonus. 

"Itu adalah corak permainan kami. 

"Saya tidak pasti lagi, mungkin saya akan panggil sekampung di depan gol kami

"Tetapi paling penting, kami mahu beraksi baik ketika bertahan mahupun menyerang di sini," katanya.

Pengendali itu perlu membuat percaturan taktikal yang tepat berikutan Felda tewas 0-4 kepada Lang Merah dalam pertemuan Liga Super ketika bertandang ke tempat lawan, Februari lalu.

Selain itu, bekas pertahanan negara itu juga perlu mengembalikan semula keyakinan anak buahnya susulan kekalahan 0-1 kepada PJ City, Selasa lalu, yang menyaksikan mereka terus terperangkap dalam zon penyingkiran liga.

"Kami perlu berwaspada dengan Jonathan Bauman, Fernando Rodriguez serta Baddrol Bakhtiar. 

"Selain itu, kami perlu berhati-hati dengan situasi bola mati mereka, apatah lagi kami telah melepaskan lapan gol dalam sepakan penjuru.

"Ia satu statistik yang tidak bagus untuk sebuah pasukan senior," tambahnya. 
 

Advertisement

Must Watch Video