Skip to main content

Bola Sepak

Favre tetap waspada dengan Haaland

erling-haaland-cropped_563d0z4lehz9zqaxlur3k5h6.jpg
Bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland, masih perlu meyakinkan Lucien Favre mengenai tahap kecergasannya walaupun mengharungi permulaan sensasi di Jerman.

Bulan lalu, Haaland tiba di Signal Iduna Park daripada RB Salzburg selepas menjadi salah satu aset bernilai dalam bola sepak Eropah dan penyerang muda itu jelas tidak mengecewakan.

Dalam penampilan pertama, dia meledakkan hatrik selepas masuk daripada bangku simpanan untuk memacu pasukannya bangkit menewaskan Augsburg 5-3 sebelum rentak cemerlang itu diteruskan dengan dua lagi gol sewaktu membelasah Cologne 5-1.

Pemain Norway itu sekali lagi menyumbat dua gol sewaktu membarisi kesebelasan utama buat kali pertama dalam kemenangan 5-0 ke atas Union Berlin walaupun dia terpaksa memanaskan bangku simpanan dalam kunjungan ke Werder Bremen minggu ini.

Haaland terus cemerlang apabila menyumbat gol selepas dibawa masuk tetapi Dortmund tewas 3-2.

Ditanya sama ada dia kesal tidak meletakkan penyerang yang dalam prestasi terbaik itu dalam kesebelasan utama, Favre mempunyai pandangan tersendiri.

"Seperti saya katakan, saya orang pertama yang tahu bila untuk turunkannya sejak awal permainan," kata Favre.

"Anda tidak tahu tahap kecergasannya. Jadi, kami harus berwaspada. Kami perlu lakukan sesuatu dengan sebab.

"Sudah tentu saya mahu turunkannya dalam setiap perlawanan tetapi kadangkala kami tetap perlu berwaspada dengannya.

"Dia berusia 19 tahun dan saya bercakap tentang pramusim serta kecederaan lama. Kami perlu berhati-hati."

Namun, Favre mungkin terpaksa menurunkan penggempur itu tatkala mereka bertandang ke Bayer Leverkusen tanpa Marco Reus hujung minggu ini.

"Malangnya, Reus mengalami kecederaan. Ia berlaku di saat-saat akhir. Saya kasihan dengannya," tambah pengurus itu selepas kapten BVB itu terpaksa berehat empat minggu yang menyebabkannya terlepas pertemuan dengan Paris Saint-Germain (PSG), 18 Februari ini.

"Namun, Reus tetap sangat penting buat pasukan. Terdapat beberapa pilihan untuk menggantikannya tetapi ia bergantung kepada sistem. Kami masih belum buat keputusan."

Pemain yang tiba di saat-saat akhir jendela perpindahan menerusi pinjaman daripada Juventus, Emre Can, masuk selaku pemain gantian ketika menentang Bremen dan dijangka meraih penampilan sulung di pentas liga bersama Dortmund dalam pertemuan dengan bekas pasukannya, Leverkusen.

"Kami perlu melihatnya dalam latihan, apa yang dia rasakan. Musim ini, dia tidak banyak beraksi," tambah Favre.

"Dia menunjukkan prestasi meyakinkan. Sesi latihan sangat pantas dan getir tetapi dia menjalaninya dengan baik.

"Dia perlu membuktikan kemampuannya dalam sesi latihan. Kami tahu dia boleh beraksi selaku pertahanan tetapi turut memiliki kebolehan mengisi bahagian tengah dalam formasi 4-3-3.

"Kami perlu lihat nanti kerana ketika ini, saya tidak boleh jelaskannya."




Editor: Nafis Abdullah
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found