Skip to main content

Bola Sepak

Farizal tidak salahkan jentera serangan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

farizal-marlias.jpg
Kapten skuad Harimau Malaya, Farizal Marlias, enggan menyalahkan jentera serangan pasukannya, sebaliknya menegaskan segala kelemahan harus diperbaiki bersama-sama.

Ia susulan ketumpulan penyudah skuad negara ketika menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi persahabatan, semalam.

Skuad negara memperagakan aksi menarik menerusi corak hantaran pendek di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun, di sebalik corak positif itu, pemain-pemain negara bergelut untuk menghasilkan jaringan walaupun dihidangkan beberapa peluang terbaik.

Nasib skuad negara mungkin berbeza jika situasi itu berlaku dalam aksi-aksi penting, terutama ketika berdepan pasukan yang jauh lebih handal berbanding Nepal.

"Banyak sebenarnya perlu diperbaiki daripada segi bertahan dan menyerang.

"Apapun, saya berpuas hati dengan komitmen setiap pemain.

"Saya berharap mereka dapat mengekalkan fokus untuk meningkatkan prestasi ketika bertemu Timor Leste nanti," katanya.

Ia merupakan aksi pertama Farizal sebagai kapten skuad kebangsaan yang mengakui kemenangan itu turut menyuntik semangat pemain negara untuk aksi menentang Timor Leste dalam perlawanan 'play-off' pusingan kelayakan Piala Dunia Qatar 2020, Jumaat ini dan Selasa depan.

Sementara itu, pemain tengah Nepal, Rohit Chand, akur dengan kekalahan itu, dengan pencapaian terbaik pasukannya hanya satu keputusan seri sepanjang pertembungan kedua-dua pasukan sejak era 1980-an.

"Secara keseluruhannya, kami beraksi dengan agak baik, terutama dalam babak pertama.

"Kami melakukan perancangan dalam babak pertama dan ia berjaya.

"Keadaan adakalanya terlalu sukar buat kami dalam babak kedua.

"Kami dikenakan sepakan penalti dan bolos satu lagi gol tidak lama selepas itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Corbin Ong, membuktikan kewibawaannya sebagai bek kiri Harimau Malaya.

Malaysia sebelum ini pernah memandang kepada kepakaran Asraruddin Putra Omar dan Zubir Azmi di posisi itu.

Penampilan sulung Corbin bersama skuad senior kebangsaan terbukti tidak mengecewakan apabila dia bukan sahaja kelihatan efektif dalam mengawal benteng tetapi juga ketika membantu jentera serangan.

Bagi Corbin, ia hanyalah permulaan kepada apa yang mampu ditawarkannya untuk Malaysia bagi tempoh jangka panjang.

"Kami menyudahkan peluang dalam babak kedua.

"Terdapat sesuatu yang perlu diperbaiki, namun secara keseluruhannya, ia merupakan penampilan pertama yang baik buat saya, prestasi yang baik buat pasukan dan persediaan terbaik menjelang kelayakan Piala Dunia.

"Kami akan menganalisis apa yang perlu diperbaiki dan menjadi lebih tajam kerana kami terlepas beberapa peluang dan mungkin boleh menjadi lebih baik," katanya.

Advertisement

Must Watch Video