Skip to main content

Bola Sepak

Faridzuean mahu kebal di gawang

faridzueantrw.jpg
Penjaga gawang The Red Warriors (TRW), Mohamad Faridzuean Kamaruddin, bertekad mengulangi aksi terbaik untuk terus kebal di gawang dalam aksi kedua kempen Piala Malaysia menentang pendatang baru, MISC-MIFA, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.

Katanya, kejayaan menghalang segala percubaan jentera serangan skuad Kedah dalam aksi pertama di Alor Star mahu diulangi jika terus mendapat kepercayaan pemangku ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah.

"Saya akui cukup bersemangat selepas berjaya mempertahankan gawang daripada ditembusi sepanjang 90 minit menentang Kedah.

"Alhamdulillah, kali pertama gawang kami tidak dibolosi sepanjang saingan Liga Malaysia dan sudah pasti menjadi motivasi terbaik menghadapi MIFA.

"Terima kasih kepada rakan pertahanan yang diketuai kapten, Mohamad Farisham Ismail, dalam menyerap segala asakan lawan," katanya.

Faridzuean, yang juga bekas penjaga gol Melaka United (MU), berharap pujian yang diterima tidak melalaikannya tetapi berusaha lebih gigih untuk terus mencipta kejayaan.

"Pujian boleh membunuh jika kita terus khayal. Kami akan meningkatkan komunikasi di benteng bagi menghalang pergerakan jentera serangan MIFA yang diketuai bekas penyerang Kelantan, L'Imam Seydi dan penjaring terbanyak mereka, Kpah Sherman," katanya.

Kelantan memulakan saingan Piala Malaysia dengan satu mata apabila mengikat finalis Piala Malaysia tahun lalu, Kedah, tanpa jaringan di Stadium Darulaman manakala MISC-MIFA yang dibimbing K. Devan mencipta kejutan terbesar mengalahkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), 2-1 di Larkin.

Advertisement

Must Watch Video