Skip to main content

Bola Sepak

FAM tunggu pengesahan New Zealand

malaysia-aff-suzuki-cup.jpg
New Zealand dijangka menjadi satu-satunya pasukan yang akan menguji prestasi skuad Harimau Malaya dalam jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), bulan ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata perbincangan mengenai perlawanan alternatif kepada penangguhan aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu telah memasuki fasa akhir.

Beliau menjelaskan New Zealand yang menduduki ranking ke-122 dunia itu satu-satunya negara yang memberikan reaksi positif walaupun ketika ini dunia sedang diancam penularan wabak COVID-19.

"Dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA bulan ini, kami tetap akan ada panggilan ke kem latihan pusat skuad kebangsaan dan telah berhubung dengan beberapa negara termasuk Filipina, Singapura dan India tetapi semuanya tidak dapat menyertai," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

New Zealand membuatkan harapan itu sedikit cerah kerana reaksi diberikan positif tetapi mereka belum memberi jawapan secara tepat. FAM tetap berharap dapat mencari satu perlawanan buat pasukan kebangsaan bulan ini."

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata sesetengah badan induk bola sepak di dunia melabel Malaysia sebagai kawasan 'panas' COVID-19 sekali gus menyukarkan FAM dalam usaha memuktamadkan pasukan yang akan menguji skuad Harimau Malaya.

"Saya telah berhubung dengan rakan sejawat dari negara lain dan mereka mengatakan Malaysia sebagai 'zon merah', dan ada pemain yang dilarang datang ke sini kerana ia akan mengakibatkan pemain itu tidak dibenarkan balik ke negara dia bermain dalam liga domestik," katanya.  

"Perkara ini agak rumit walaupun FIFA bagi pendekatan yang FAM boleh anjurkan perlawanan persahabatan di sini. Ia tetap bergantung dengan pasukan sama ada boleh menerima jemputan dari Malaysia."

Khamis lalu, FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan sedang mengkaji langkah menangguhkan saingan kelayakan itu susulan kesan penularan COVID-19 di seluruh dunia dengan pengesahan rasmi itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Harimau Malaya di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe, dijadual menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26 Mac sebelum menjadi tuan rumah kepada Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac dalam saingan Kumpulan G dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA bulan ini.

Dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA Jun depan, Malaysia akan menamatkan kempen kelayakan menentang Thailand di Bangkok pada 9 Jun.

-- BERNAMA
 

Advertisement

Must Watch Video