Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengalu-alukan sebarang siasatan dalaman berhubung dakwaan berlaku salah laku menerusi satu surat layang yang edarkan kepada media oleh pihak yang menggelar diri mereka Ultras FAM.

Perkara ini dinyatakan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail, kepada kepada Nadi Weekend apabila diminta mengulas mengenai perkara ini.

Kumpulan atau individu terbabit menggaris empat perkara yang mendakwa berlakunya salah laku.

"Setiap keputusan adalah dibuat bersama, akan dibentangkan dalam mesyuarat exco.

"Sama ada setuju atau tidak, ia bergantung kepada keadaaan. Mungkin tidak semestinya SPRM, mungkin boleh buat siasatan dalaman.




"Itu mungkin satu cadangan yang boleh menyelesaikan kekeruhan yang timbul pada malam ini," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.

Begitupun, tiada istilah 'Kelana Jaya bergoyang', malah Rosmadi menegaskan isu surat layang ini sekadar bersifat tohmahan semata-mata gagal menghadirkan sebarang tindakan panik daripada badan induk berkenaan sendiri.

"Tiada situasi panik dengan tuduhan ini. Kami yakin dan amat percaya bahawa setiap keputusan yang dibuat ikut SOP (prosedur operasi standard) lama yang digunapakai oleh
FAM," katanya.