Skip to main content

Bola Sepak

FAM kongsi misi, visi bersama Tun M

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

56165144_2110881879008565_5595250786389983232_o.jpg
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkongsi misi dan visi mengenai hala tuju bola sepak negara ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata dalam pertemuan berlangsung lebih 30 minit itu petang tadi, pihaknya memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai perancangan membina ibu pejabat baru FAM dan pusat latihan kebangsaan yang lengkap di Presint 5, Putrajaya.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Dr. Mahathir kerana memberi saya ruang berkongsi visi dan misi FAM serta perancangan membina ibu pejabat baru FAM dan pusat latihan kebangsaan yang dilengkapi tiga padang latihan, termasuk satu dalam dewan.

“Kami mengharapkan impian ini menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Hamidin.

Ketika ini, FAM berada di peringkat akhir rundingan dengan pemaju untuk membangunkan ibu pejabat baru badan induk itu di Presint 5, Putrajaya.

Bangunan asal FAM di Jalan Birch (sekarang Jalan Maharajalela), tidak jauh dari Stadium Merdeka, dibina setinggi enam tingkat dengan kos RM317,000 dan dirasmikan pada Disember 1961 sebelum badan induk bola sepak kebangsaan itu berpindah ke pejabat sedia ada di Wisma FAM setinggi empat tingkat di Kelana Jaya bernilai RM1.85 juta pada 1979.

Dalam kunjungan yang disertai Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, Hamidin turut membentangkan pelan hala tuju jangka panjang FAM yang terkandung dalam F:30.

Beliau turut mengemas kini maklumat kepada Dr. Mahathir susulan perjanjian persefahaman (MoU) di antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang ditandatangani pada 5 April lalu.

“Saya bagi pihak FAM mempelawa wakil pejabat Perdana Menteri untuk menyertai rombongan FAM ke Jepun, pada satu tarikh yang akan ditetapkan,” katanya.

Bulan lalu, Hamidin membawa Presiden FIFA, Gianni Infantino, dan Presiden JFA Kohzo Tashima, untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Dr. Mahathir sebelum menandatangani MoU dengan Tashima.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video