Skip to main content

Bola Sepak

FAM atur sambutan ketibaan Faiz Subri di KLIA, esok

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

10117faizsubri.jpg
Selepas dinobatkan selaku pemenang Anugerah Puskas 2016, Mohd Faiz Subri pantas melaungkan amaran untuk membawa Pulau Pinang menjadi pencabar utama dalam saingan Liga Super 2017.

"Kemenangan ini sangat bermakna buat saya dan rakyat Malaysia. Anugerah ini bukan sahaja untuk diri saya, ia juga hasil kejayaaan bersama pasukan Pulau Pinang," kata pemain tengah itu.

Dengan tumpuan kini terarah kepada Faiz, bagaimana pemain berusia 30 tahun itu akan menerimanya apabila pulang ke tanah air?

"Saya menganggap kejayaan ini adalah rezeki buat diri saya. Saya akan terus memberikan yang terbaik buat Pulau Pinang dan cuba membantu pasukan bagi cabaran musim 2017."

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap kejayaan Faiz memenangi Anugerah Puskas 2016 mampu menjadi perintis dan pendorong kepada pemain negara untuk lebih cemerlang.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, Faiz mampu menjadi contoh buat pemain lain.

Malah, katanya, kejayaan merangkul Anugerah Puskas itu turut membawa bola sepak Malaysia lebih dikenali di seluruh dunia.

"Pada pendapat saya, bola sepak Malaysia juga berkemampuan untuk menghasilkan pemain-pemain yang mampu diiktiraf di pentas tertinggi ini," katanya.

Dalam pada itu, FAM juga telah mengatur sambutan buat Faiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), esok. 

"Setibanya Faiz, mungkin ada sidang akhbar dan beberapa perkara yang akan dimaklumkan di KLIA," kata Afandi.

Faiz mengetepikan dua lagi calon akhir, Jonath Marlone Azevedo da Silva (Brazil) dan Daniuska Rodriguez (Venezuela), selepas diumumkan legenda Brazil, Ronaldo, dalam majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), awal pagi tadi.

Jaringan menakjubkan yang membawa kepada kemenangan itu dilakukan Faiz ketika mengambil sepakan percuma untuk membantu skuad Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas.

Advertisement

Must Watch Video