Skip to main content

Bola Sepak

Faiz Subri miliki peluang cerah raih Anugerah Puskas 2016 -- Radebe

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

090117redebe.jpg
Bekas ketua pasukan skuad Piala Dunia 2002 Afrika Selatan, Lucas Radebe, memuji gol Mohd Faiz Subri dengan menganggap ia adalah antara gol tercantik yang pernah disaksikannya.

Radebe, yang juga bekas ketua pasukan Leeds United, ditemui di Zurich, Switzerland sempena majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016, awal pagi nanti.

Ketika ditunjukkan rakaman gol berkenaan, legenda bola sepak Afrika Selatan itu nyata terkejut sambil berkata, Faiz memiliki harapan cerah untuk memenangi Anugerah Puskas 2016.

"Sememangnya jaringan itu luar biasa, terutama lencongan bola. Secara jujurnya, ia antara gol terbaik yang pernah saya lihat. 

"Pada awalnya, jika dilihat jarak sepakan percuma itu, saya berasakan dia (Faiz ) tidak mempunyai peluang dengan sepakan kaki kanan tetapi cara dia menyepak bola itu amat menakjubkan.

"Satu sepakan percuma yang baik. Saya berasakan ia antara jaringan sepakan percuma yang terbaik. 

"Jika dilihat jaringan sepakan percuma atau jaringan yang lain, seperti gol pemain kelahiran Afrika Selatan (Hlompho Kekana) yang hampir sama seperti dilakukan David Beckham dahulu, gol sepakan percuma pemain Malaysia ini mempunyai peluang yang cerah." kata Radebe.

Tiga jaringan disenarai pendek untuk merebut Anugerah Puskas 2016, masing-masing dicipta Marlone (Brazil), Daniuska Rodriguez (Venezuela) dan Faiz (Malaysia).

Faiz melakukan rembatan dari situasi bola mati untuk menewaskan penjaga gawang Pahang, Nasril Nourdin, dalam aksi Liga Super menerusi teknik yang dikatakan melanggar hukum fizik. 
  
Marlone, pemain tengah Corintians, tersenarai menerusi jaringan ke atas Cobresal dalam aksi Copa Libertadores hasil hantaran lintang yang disambut mendada oleh pemain itu sebelum melakukan satu ledakan akrobatik.

Sementara itu, finalis tunggal wanita, Daniuska, melakukan gelecekan kemas untuk melepasi dua pemain pertahanan, sebelum merembat kencang menggunakan kaki kiri.

Advertisement

Must Watch Video