Skip to main content

Bola Sepak

Faiz Subri harap lebih ramai pemain Malaysia tercalon dalam Anugerah Puskas

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

21216faizsubripuskas.png
Finalis Anugerah Puskas, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri, berharap pencalonannya dalam majlis berprestij itu dapat mendorong lebih ramai pemain bola sepak tanah air untuk menjelmakan gol yang menakjubkan pada masa akan datang.

Faiz, yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, mengakui sudah merasai keterujaan untuk menanti keputusan akhir Anugerah Puskas nanti (awal pagi Salasa waktu tempatan).
 
Faiz, bagaimanapun, tetap berharap agar ia tidak menjadi pencalonan yang pertama dan terakhir bagi dirinya dan juga pemain bola sepak negara ini kerana percaya lebih ramai lagi mampu menjaringkan gol menarik selepas ini.
 
Pemain tengah skuad Pulau Pinang itu kini bersedia menerima apa jua keputusan pada tarikh keramat, esok.
 
"Saya sangat teruja dan gembira dengan pencalonan ini. Saya yakin pemain dari Malaysia mampu menghasilkan gol cantik di masa akan datang.

"Ya, saya agak gementar untuk menantikan siapa pemenang anugerah ini tetapi saya cuba untuk lebih tenang menghadapinya," katanya, sebelum berlepas ke Zurich, Switzerland.
 
Sementara itu, isteri Faiz, Norzawanis Hashim, berharap kehadirannya dan dua anak mereka, Akif Fayyad dan Mohd Aqil Zayyan, ke Zurich mampu menambah motivasi walaupun tidak dapat hadir ketika majlis berlangsung.
 
Norzawanis berkata dia mahu menjadi orang pertama yang meraikan jika suaminya berjaya membawa pulang trofi buat rakyat Malaysia nanti.
 
"Pencapaian Faiz adalah rezeki anak-anak kami. Saya berharap dia akan terus maju dalam kariernya sebagai pemain bola sepak di masa akan datang," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video