Skip to main content

Bola Sepak

FA Sarawak diingat jangan lambat bayar gaji

sarawak-fas.jpg
Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) diminta mengutamakan kebajikan pemain bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan bersemangat untuk beraksi.

"Terutama soal gaji, pastikan gaji sentiasa tepat pada masanya!

"Barulah mereka (pemain) bermotivasi dan bernafsu mencipta kemenangan," kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, dalam pertemuan khas bersama skuad bola sepak Sarawak di Kuching.

Jelasnya, dengan kebajikan diutamakan, isu pemain tidak berprestasi hingga menarik diri daripada pasukan, tidak akan berlaku.

"Kelewatan membayar gaji akan menjejaskan segala-galanya," katanya.

Beliau tidak mahu lagi mendengar isu tidak bayar gaji dan hutang tertunggak wujud dalam kem Sarawak.

"Saya menaruh harapan kepada Datuk Posa Majais untuk memastikan ini tidak berlaku.

"Ini kerana saya diarah oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, untuk memantau pasukan ini," katanya lagi.

Tegasnya, hanya apabila ditadbir dengan baik dan berintegriti, barulah pasukan ini digeruni.

"Saya tahu kita telah jatuh ke Liga Perdana, namun ia tidak bermakna kita tidak dapat bangkit kembali ke Liga Super."

Katanya, sukan bola sepak penting untuk membantu Sarawak menjadi 'kuasa sukan' di negara ini.

"Saya juga mahu Sarawak menang dalam aksi pertama pada 2 Februari ini, menentang Kuantan FA.

"Jika terus menang, stadium akan kembali penuh. Ini yang kami mahu.

"Kami meletakkan penuh harapan mahu melihat pasukan ini berjaya pada musim ini," ujarnya.

Kerajaan Negeri memperuntukkan geran sebanyak RM3.5 juta setiap tahun untuk FAS, namun ia jauh daripada mencukupi.

FAS memerlukan kos operasi di antara RM12 juta dan RM15 juta saban tahun.
 

Advertisement

Must Watch Video