LIGA INGGERIS
Everton perlu miliki ramai pemain seperti Lukaku
Ronald Koeman mencadangkan Everton perlu memiliki lebih mentaliti menyerang jika mereka mahu melihat Romelu Lukaku beraksi di tahap yang lebih baik menjelang aksi berdepan Chelsea, malam esok.
Lukaku sedang beraksi di tahap terbaiknya bersama The Toffees bagi tahun 2017 apabila telah pun meledak 13 gol dalam mengecapi lapan kemenangan berturut-turut di Goodison Park.
Bagaimanapun, Everton bergelut di tempat lawan dan ia terbukti apabila mereka diikat seri tanpa jaringan dengan West Ham sebelum ini.
Iklan
Kunci kepada keputusan positif esok bakal terletak di bahu Lukaku -- dengan masa depannya kekal dalam persoalan -- dan Koeman percaya pasukan kendaliannya memerlukan pemain yang memiliki mentaliti seperti pemain berusia 23 tahun itu andai mahu menyaingi pasukan gergasi seperti Chelsea.
The Blues membelasah Everton 5-0 dalam pertemuan pada awal musim.
"Saya tidak tahu sama ada Lukaku akan kekal, kita akan lihat apa yang akan berlaku hujung musim ini," kata Koeman.
"Sudah tentu, kami mahu pemain terbaik kekal. Lukaku sering kali mahu mempamerkan aksi yang terbaik. Bagi saya, kami perlukan pemain yang memiliki mentaliti menyerang di samping mampu menjaringkan gol. Ini kerana terdapat jurang besar di antara Lukaku dan pemain lain.
"Mungkin kami perlu mengubah mentaliti kerana ketika berdepan West Ham sebelum ini, kami kurang menyerang."
Everton ketika ini menghuni kedudukan ketujuh liga, dua mata di belakang Arsenal -- yang bakal berdepan Tottenham esok -- namun berkelebihan dua perlawanan.
"Cabaran saya adalah untuk memberi motivasi kepada pemain," ujar Koeman, yang turut mendakwa perebutan kejuaraan masih terbuka.
"Kami telah membuktikan bahawa pasukan ini semakin menampakkan kemajuan.
"Perebutan kejuaraan masih belum berakhir. Chelsea dan Tottenham berdepan perlawanan getir minggu ini."
Must-Watch Video