BOLA SEPAK
EURO Wanita: Alexandra Popp pacu Jerman ke perlawanan akhir
JERMAN 2 PERANCIS 1
Alexandra Popp menganggap tiada yang lebih baik daripada peluang beraksi dalam final di Wembley selepas memacu kemenangan 2-1 Jerman dalam separuh akhir EURO Wanita, awal pagi tadi.
Mereka menyingkirkan juara dua kali, Perancis, apabila penyerang Wolfsburg itu membuka jaringan pada minit ke-40, kemudian menanduk masuk gol kemenangan dalam separuh masa kedua selepas gol sendiri Merle Frohms mengimbangi kedudukan.
Iklan
Jaringan Popp dalam babak pertama itu mengangkatnya sebagai pemain pertama dalam sejarah pertandingan yang menemui sentuhan penyudah dalam lima perlawanan berturut-turut.
Ia juga merupakan gol ke-100 Jerman dalam kempen itu, secara tidak langsung menjadikan mereka sebagai pasukan pertama yang mencapai jumlah berkenaan.
Popp kini menyamai rekod pemain England, Beth Mead, dengan enam gol untuk kejohanan tahun ini dan mereka akan membuat perhitungan dalam perlawanan akhir, tengah malam Isnin depan.
England selaku tuan rumah pasti akan meraih sokongan padu di London berikutan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Sweden semalam, tetapi Popp mahu menikmati peluang membantu Jerman merangkul kejuaraan EURO kesembilan.
"Saya tidak mampu meluahkan kemenangan ini dengan kata-kata," katanya kepada ZDF selepas gol bergandanya ke atas Belanda dan Perancis.
“Kami benar-benar mengerahkan segala kudrat dan sangat gembira.
"Pasukan ini hebat. Tiada siapa yang meletakkan harapan kepada kami dan kini kami berada dalam final untuk menentang England di Wembley.
"Inilah impian kami, hasrat kami yang telah kami tunaikan.
"Perlawanan akhir di Wembley, tiada yang lebih baik."
Must-Watch Video