Skip to main content

Bola Sepak

Eto'o harap Lukaku menyinar di Inter

lukaku.jpg
Samuel Eto'o mengharapkan Romelu Lukaku untuk terus menyinar bersama Inter Milan selepas menyertai pasukan Serie A itu dengan rekod perpindahan termahal mereka.

Lukaku menamatkan tempoh dua tahunnya bersama Manchester United selepas menyertai skuad kendalian Antonio Conte itu dengan yuran perpindahan yang dilaporkan bernilai €80 juta (RM374.8 juta) sebelum tarikh tutup jendela perpindahan pemain awal pagi tadi.

Penyerang Belgium itu mula dikaitkan dengan Inter selepas pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, memberikan gambaran jelas mengenai pilihannya untuk meletakkan Marcus Rashford sebagai penggempur utama di Old Trafford.

Bekas penyerang Inter, Eto'o -- yang merupakan sebahagian daripada skuad kejuaraan 'treble' di bawah kendalian Jose Mourinho pada musim 2009-10 -- pernah bergandingan bersama Lukaku ketika di Chelsea dan mahukan penyerang Belgium itu berjaya di San Siro.

"Selamat datang ke Inter Milan, Romeo. Ia lebih daripada pasukan, ia satu keluarga yang anda sertai," tulisnya dalam Instagram.

"Di sana, anda akan dikelilingi bintang, jadi tidak mustahil anda akan terus menyinar.

"Semoga berjaya dalam cabaran terbaru ini dan saya harap anda akan dilimpahi gol.

"Buat kami bangga adikku!" katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu menghabiskan dua tahun di Old Trafford selepas hadir daripada Everton dengan perjanjian bernilai £75 juta (RM381.1 juta) pada 2017.

Dia menjaringkan 12 gol dalam saingan Liga Perdana 2018-19 -- 15 secara keseluruhan -- ketika United menamatkan musim di tempat keenam dan disingkirkan Barcelona dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Advertisement

Must Watch Video