Skip to main content

Bola Sepak

Erik ten Hag tidak cadang rehatkan Andre Onana

andre-onana.jpg
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag, menegaskan kepercayaan sepenuhnya kepada Andre Onana sambil berkata tidak ada faedah mengetepikan penjaga golnya yang sedang dikritik hebat.

Onana sekali lagi menjadi tajuk utama selepas penjaga gol Cameroon itu dipersalahkan atas dua gol Galatasaray ketika seri 3-3 di Istanbul yang menyaksikan United menyerahkan kelebihan dua gol untuk meninggalkan nasib Liga Juara-Juara (UCL) mereka di luar genggaman.

Namun, Ten Hag mempertahankan tegas pemain dibawa masuk dengan £47 juta (RM278.9j) pada musim panas yang sebelumnya mewakiki Ajax dan statistik menunjukkan bahawa Onana di kedudukan kedua dalam jumlah penyelamatan, peratusan penyelamatan dan gol yang dipatahkan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). 

"Pemain sentiasa memerlukan kepercayaan," kata Ten Hag. 




"Selepas Alisson, dia adalah penjaga gol terbaik dalam liga daripada segi mematahkan peluang terbuka. dia layak bermain."

Onana telah diturunkan dalam setiap perlawanan musim ini dan Ten Hag memilih untuk tidak merehatkannya, bahkan dalam Piala Liga Inggeris (EFL). Ini bermakna penjaga gol Turki, Altay Biyindir, yang ditandatangani dari Fenerbahce pada musim panas lalu masih menunggu untuk membuat penampilan sulungnya.

Ditanya sama ada Onana mungkin direhatkan, Ten Hag berkata: "Ia tidak akan membantunya. Saya sepenuhnya percaya kepada Tom (Heaton) dan Altay. Tetapi selepas Alisson, Andre paling banyak menghalang percubaan dalam kancah ini. 

"Dalam UCL, dia berpengalaman luas dengan Ajax termasuk Inter Milan pada tahun lalu. Tahun lalu dia sebaris dengan (Manuel) Neuer dan (Thibaut) Courtois untuk dianggap sebagai penjaga gol terbaik, jadi dia adalah seorang penjaga gol handalan. 

"Dia mempunyai potensi, jadi kami harus berusaha agar dia mampu mencapai ketelakan dan kami akan membantu dan menyokongnya. Pengurus, jurulatih, dan pemain semua menyokongnya."




Suasana di Instanbul itu agak suram apabila pemain-pemain United tidak mendekati Onana sebaik wisel penamat sambil dia melemparkan sarung tangannya ke tanah untuk menunjukkan betapa kecewanya dengan diri sendiri. 

Tetapi Ten Hag menegaskan itu bukan petanda bahawa pemain-pemainnya mungkin kehilangan keyakinan terhadap penjaga gol mereka.

"Itu tidak akan berlaku," katanya. 


"Bilik persalinan ini bersatu hati. Bola sepak adalah permainan tentang kesilapan dan setiap orang tidak dapat elak daripada membuat kesilapan. Tetapi pasukan ini harus menutupinya jadi kami perlu bertindak. 


"Tiada pemain yang kebal daripada digugurkan. Kami haris meletakkan kepercayaan tinggi terhadapnya dalam usahanya membantu kami memenangi trofi."

 

Advertisement

Must Watch Video