Skip to main content

Bola Sepak

EPL: Rangnick puji aksi sempurna Maguire kekang Leicester

harry-maguire_ctp32qxfmidw12n08ls8z8qs8.jpg
MAN UTD 1 LEICESTER 1 

Ralf Rangnick melabelkan persembahan Harry Maguire ketika Manchester United seri 1-1 dengan Leicester City, awal pagi tadi, sebagai tiada sebarang cacat celanya selepas pertahanan itu diejek ketika membarisi skuad England sambil Bruno Fernandes mendakwa media juga turut memainkan peranan. 


Pengurus sementara United itu memuji sambutan penyokong setia Old Trafford terhadap Maguire selepas pemain berusia 29 tahun tersebut menjadi mangsa ejekan ketika England bertemu Ivory Coast dalam perlawanan persahabatan Rabu lalu.

Maguire menerima kritikan hebat berhubung prestasinya musim ini yang menyaksikan United mencatat tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini tanpa bolos, jumlah terburuk berbanding sembilan pasukan kelompok teratas yang lain.

Rangnick, bagaimanapun, kagum dengan persembahan mantap Maguire ketika menentang bekas pasukannya itu. 

"Reaksi penyokong kami (terhadap Maguire) adalah seperti biasa," katanya kepada Sky Sports.

“Mereka adalah salah satu penyokong terbaik, paling tidak pun di England.

"Harry beraksi dengan baik, dia mengharungi perlawanan yang sempurna hari ini daripada segi bertahan dan serangan. Ia adalah satu persembahan yang mantap daripadanya."

Pemain tengah, Fernandes, turut bertindak membela rakan sepasukannya itu apabila mendakwa liputan meluas oleh media telah mengundang ejekan di Wembley, tempohari. 

"Bukan mudah apabila penyokong negara sendiri mencemuh anda," katanya kepada Sky Sports. 

“Mungkin juga disebabkan media.

"Ia bukan soal prestasinya, dia beraksi dengan sangat baik. Kadang-kadang media perlu berfikir secara mendalam apabila mereka melakukan sesuatu."




Prestasi ketua pasukan itu mungkin sempurna di mata Rangnick tetapi ia belum cukup untuk membantu United mengutip tiga mata. 

Kelechi Iheanacho membuka jaringan buat pelawat sebelum Fred menyamakan kedudukan dan video bantuan pengadil (VAR) menyelamatkan maruah United apabila gol James Maddison dibatalkan menuju waktu kecederaan.

United hanya menang sekali daripada enam perlawanan terakhir dan ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal yang berada di tangga keempat dengan kelebihan dua perlawanan. 

Pasukan bimbingan Rangnick itu juga gagal memenangi empat pertemuan terakhir liga dengan Leicester selepas tujuh kali cemerlang daripada lapan perlawanan terdahulu. 

 

Advertisement

Must Watch Video