Chelsea dilaporkan sudah semakin hampir untuk melantik Mauricio Pochettino sebagai pengurus baru pasukan itu.
The Blues dikatakan sudah mencapai kesepakatan dengan bekas pengendali Tottenham itu berdasarkan laporan media-media antarabangsa awal pagi tadi.
Jurulatih berbangsa Argentina berusia 51 tahun itu akan mengambil alih tugas daripada pengurus interim, Frank Lampard, selepas tamat musim ini.
Bagaimanapun, masih belum ada sebarang pengesahan daripada kelab itu sewaktu dihubungi agensi berita, PA.
Chelsea mencari seorang pengurus baru selepas memecat Graham Potter pada April lalu, hanya selepas tujuh bulan daripada kontrak lima tahunnya.
Lampard, yang pernah mengendali Chelsea dari 2019 hingga 2021, kemudian dilantik secara interim tetapi pergelutan pasukan itu berterusan untuk kini menduduki tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pochettino, yang membawa Tottenham layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2019 sebelum dipecat pada tahun yang sama, kini tidak mengendalikan mana-mana pasukan selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada musim panas lalu.
Muzaffar Musa
Sun May 14 2023