LIVERPOOL 2 ARSENAL 2

Gol tandukan Roberto Firmino pada penghujung permainan memastikan Liverpool bangkit mengikat Arsenal 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi tadi.

Jaringan Gabriel Martinelli dan Gabriel Jesus meletakkan The Gunners selesa mendahului dua gol tetapi Mohamed Salah kemudian mengurangkan defisit itu sebelum tamat babak pertama.

Salah kemudian gagal menyempurnakan sepakan penalti pada awal babak kedua tetapi mujurlah Firmino, yang dimasukkan daripada bangku pemain simpanan, berhasil menemui gol penyamaan pada minit ke-87 perlawanan di Merseyside itu.

Penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale, kemudian melakukan dua aksi menyelamat gemilang dalam waktu kecederaan untuk The Gunners memperoleh satu mata berharga, sekali gus berkelebihan enam mata di tangga teratas liga berbanding pencabar terdekat, Manchester City, yang memegang kelebihan satu perlawanan dalam tangan.