Erik ten Hag amat bangga dengan persembahan Manchester United ketika mengikat Liverpool 0-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield awal pagi tadi.
Perlawanan di Anfield itu menjadi tumpuan dengan pertembungan dua pasukan seteru tradisi itu dengan Liverpool bimbingan Jurgen Klopp perlu menang untuk kembali ke tangga teratas EPL.
Pertembungan itu berakhir tanpa jaringan dan mendatangkan rasa kecewa kapten Liverpool, Virgil van Dijk, yang menganggap United hanya mahu seri dalam perlawanan itu.
"Jika anda perhatikan perlawanan ini, amat jelas kami menguasai bola dan mencipta peluang.
"Saya fikir hanya kami pasukan yang mahu memenangi perlawanan ini.
"Malangnya ia tidak berlaku. Jadi, kerana itulah kami rasa kecewa, terutama ketika kami berdepan pasukan seperti ini," kata pertahanan tengah itu kepada Sky Sports.
Pengurus United, Ten Hag, bagaimanapun, menyelar kenyataan rakan senegaranya itu dengan berkatya: "Ia hanya pandangan peribadinya."
Menambah mengenai prestasi pasukannya, Ten Hag berkata: "Kami sepatutnya menguasai lebih banyak bola dengan tiga atau empat hantaran yang kami mampu lakukan dan kami boleh memberikan lebih ancaman kepada lawan.
"Tetapi pada akhirnya, anda perlu katakakan yang kami memiliki peluang terbaik sewaktu permainan terbuka menerusi Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho.
"Selepas perlawanan, saya bercakap dalam bilik persalinan bahawa saya amat berbangga dengan pasukan ini. Kami perlu melakukannya dengan lebih kerap selepas ini. Saya katakan seperti itu."
Muzaffar Musa
Mon Dec 18 2023