Skip to main content

Bola Sepak

EPL: Bruno Fernandes dilihat pakai pelindung kaki, bertongkat

fernandes.jpg
Tahap kecergasan perancang Manchester United, Bruno Fernandes, mencetuskan kebimbangan menjelang beberapa minggu terakhir saingan musim ini apabila dilihat menggunakan pelindung kaki dan bertongkat.

Fernandes mengalami kecederaan buku lali sewaktu United menewaskan Brighton and Hove Albion dalam perlawanan separuh akhir Piala FA hujung minggu lalu selepas kakinya dilihat terpelecok di atas padang.

Walaupun dia dapat meneruskan perlawanan itu sehingga dikeluarkan dalam masa tambahan, Fernandes kelihatan terhincut-hincut di tepi padang sebelum tamat permainan dan penentuan sepakan penalti.

Kini, kecederaan yang dialaminya kelihatan lebih seirus daripada apa yang disangkakan apabila isteri pemain berusia 28 tahun itu berkongsikan gambarnya dalam Twitter, yang menunjukkan Fernandes sedang berehat di sofa dengan memakai pelindung kaki dan terdapat sepasang tongkat berdekatannya.

Dengan keadaan itu, dia dijangka tidak akan dapat beraksi ketika United berkunjung ke laman Tottenham bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Jumaat ini sebelum melayani kunjungan Aston Villa tiga hari kemudian.

Sebagai rekod, Fernandes tidak dapat beraksi ketika pasukannya tewas 0-3 kepada Sevilla dalam saingan Liga Europa awal pagi Jumaat lalu, sekali gus tersingkir daripada kejohanan itu.
 

Advertisement

Must Watch Video