VILLA 1 SHEFFIELD 1

Pengurus Aston Villa, Unai Emery, enggan merungut berikutan anak buahnya terlepas peluang untuk menguasai tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).


Tandukan Nicolo Zaniolo pada masa kecederaan menyelamatkan mereka satu mata apabila terikat 1-1 dengan Sheffield United, awal pagi tadi.

Cameron Archer, yang menyertai The Blades daripada Villa pada musim panas lalu, mencetak gol buat pelawat ketika permainan berbaki tiga minit untuk meninggalkan Villa di ambang kekalahan liga pertama di tempat sendiri sejak Februari lalu.

Begitupun, mereka berjaya menyelamatkan maruah walaupun rekod 15 kemenangan liga berturut-turut di Villa Park berkecai untuk mereka menduduki tangga kedua carta liga di belakang pendahulu, Arsenal, menerusi perbezaan gol.

Emery -- yang menyaksikan gol Leon Bailey dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) sementara tiga tuntutan sepakan penalti tuan rumah dinafikan menerusi ulang tayang -- berkata: “Ia adalah pungutan satu mata yang sangat baik pada akhirnya.

“Pada permulaan kami sangat teruja dan kami memang sudah menjangkakan Sheffield adalah begitu kental dan mereka berjaya dalam rancangan mereka selain turut menjaringkan gol apabila kami hilang kawalan permainan.



“Hasil daripada keputusan seri ini tetap hebat buat kami kerana kami mengekalkan tempo dengan baik, bukan dengan tiga mata tetapi corak permainan sama yang kami cuba terapkan.

“Kami kesal dan kecewa dengan semakan semula jaringan kami, kami perlu akur dengan setiap keputusan walaupun kami tidak bersetuju dengannya.




“Kami hilang kawalan permainan dalam 20 minit terakhir.

"Pada akhirnya kami dikecewakan, saya mengidamkan tiga mata tetapi kami perlu akur bagaimana Sheffield kental bertahan.”