Pendahuluan Arsenal di puncak EPL berkurangan kepada lima mata selepas Manchester City meraih kemenangan 4-1 ke atas Liverpool dalam perlawanan lebih awal tetapi pasukan bimbingan Arteta itu kelihatan langsung tidak terjejas dengan perkara berkenaan untuk menewaskan Leeds dengan jumlah jaringan sama.
Gabriel Jesus menjaringkan dua gol sambil Ben White dan Granit Xhaka turut menemui sasaran buat pasukan tuan rumah itu, yang turun beraksi tanpa kelibat Bukayo Saka dalam kesebelasan utama buat kali pertama sepanjang musim ini.
Arteta -- yang mendedahkan penyerang itu tidak memulakan perlawanan berkenaan kerana tidak cukup sihat sejak Jumaat lalu -- gembira apabila anak buahnya masih dapat mengekalkan tumpuan terhadap tugasan yang dipikul mereka.
"Kami berdepan beberapa masalah melibatkan beberapa individu. Ia menimbulkan kebimbangan beberapa hari ini kerana kami tidak dapat menentukan sehingga pagi ini berkenaan pemain yang dapat diturunkan dan barisan yang dipilih," katanya kepada BBC.
"Selepas waktu rehat antarabangsa, anda tidak tahu jika minda mereka sudah bersedia untuk kembali ke sini dan melakukan perkara yang sepatutnya untuk memenangi liga ini. Saya amat gembira dengan prestasi mereka.
"Kami sedar (keputusan perlawanan City) kerana ia perlawanan besar dan kami mahu menonton sebahagian daripadanya.
"Tetapi apabila kami tiba di sini, ia hanya untuk menumpukan terhadap diri kami dan apa yang boleh kami lakukan sebagai satu pasukan.
"Mereka sudah terbiasa mengenainya. Kami hanya dapat mengawal apa yang kami boleh kawal," katanya.
A proper team performance ❤️ pic.twitter.com/rENZY6SL3c
— Arsenal (@Arsenal) April 1, 2023