Skip to main content

Bola Sepak

Enrique: Ramos adalah pemain terpilih

ramos-cropped_1rd5n3l67ckeu17iuhiy5cug1k.jpg
Pengendali Sepanyol, Luis Enrique, melabelkan Sergio Ramos sebagai pemain terpilih yang melepasi semua jangkaan ketika pertemuan pertama pengurus itu dengan pasukan kebangsaan.

Era Sepanyol bersama Enrique akan bermula dengan aksi berdepan England dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA awal pagi esok selepas bekas pengendali Barcelona itu menggantikan tempat Julen Lopetegui yang dipecat sejurus sebelum kempen Piala Dunia lalu.

Walaupun Sepanyol kini kehilangan khidmat beberapa tonggak utama seperti Andres Iniesta dan Gerard Pique yang bersara daripada peringkat antarabangsa selepas aksi di Russia, Enrique berbesar hati masih memiliki kudrat Ramos.

Pertahanan Real Madrid itu mungkin musuh utama Enrique ketika mengendalikan Barca tetapi ia tidak menyekat pengendali berusia 48 tahun itu daripada menyatakan pendapat mengenai bek tengah itu.

"Menjadi kapten buat skuad kebangsaan adalah disebabkan di peringkat antarabangsa, anda adalah pemain yang memiliki personaliti penuh," kata Enrique.

"Apabila anda melihat Ramos bersaing, dia faham bahawa dirinya yang terpilih. Ramos sedar tentangnya.

"Dia merupakan seorang ketua dalam apa jua situasi. Saya berbesar hati dengannya. Saya menjangkakan sesuatu pada tahap yang tinggi dan dia melepasinya."

Kemampuan Ramos selaku seorang ketua bukan satu-satunya perkara yang memeranjatkan Enrique pada minggu ini tatkala dia juga dikejutkan dengan disiplin dalam pasukan.

"Ia adalah minggu yang hebat.

"Saya tidak sabar untuk perlawanan esok. Saya tidak meragui akan kesebelasan utama untuk aksi esok tetapi apa yang mengejutkan saya adalah perkara yang dilihat.

"Saya melihat satu tahap displin yang terpuji. Sesuatu yang hebat apabila menyaksikan bagaimana mereka memberikan reaksi terhadap apa yang diminta ketika latihan. Saya yakin dan gembira untuk melihat mereka bersaing," katanya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video