Skip to main content

Bola Sepak

Enam pemain baru mantapkan Kelantan United

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kelantan-united.jpg
Enam pemain baru, termasuk bekas kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi atau Piya, dibawa masuk oleh Kelantan United FC dalam usaha menjuarai Liga M3 musim ini, sekali gus layak ke saingan Liga Perdana musim depan.

Presiden Kelantan United FC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata kehadiran Piya dalam skuad kendalian Zahasmi Ismail itu membuktikan pihak pengurusan serius untuk mencipta sejarah menjuarai Liga M3.

"Selain Piya, kami turut membawa masuk beberapa pemain yang sudah 'masak' dengan saingan liga, antaranya Mohd Nizab Ayub dari Perak, Mohd Azrean Aziz, Wan Mohamad Ridhwan Deraman dan Mohd Ainan Yusoff.

"Kelantan United turut membawa masuk penyerang import dari Gambia, Alfusainey Gassamu, untuk memperkasakan jentera serangan," katanya dalam majlis menandatangani kontrak dan memperkenalkan pemain baru Kelantan United di Kota Bharu, hari ini.

Che Abdullah juga menjelaskan kehadiran enam tonggak itu adalah untuk menggantikan pemain yang telah digugurkan, iaitu Muhamad Azmi Hamzah, Muhamad Fadzlie Abdullah, Mohamad Faizol Fazree Ismail, Mohamad Azri Azam, Mohamad Zailani Ramli dan penyerang import, Elano Carlos Zozimar.

"Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu pemain terlibat (yang digugurkan) mencari pasukan baru supaya karier bola sepak mereka tidak terkubur begitu sahaja," ujarnya.

Untuk rekod, selepas mengharungi tujuh perlawanan, Kelantan United kini menghuni tangga ketiga Liga M3 dengan mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Kredit Foto: Kelantan United FC

Advertisement

Must Watch Video