Skip to main content

Bola Sepak

Empat gol Costa malukan Real Madrid

diegocosta-cropped_px976wvms8fn132v35b1b6fzh.jpg
REAL MADRID 3 ATLETICO MADRID 7

Diego Costa menjaringkan empat gol sewaktu Atletico Madrid memalukan seteru LaLiga, Real Madrid, 7-3 dalam satu persembahan memukau bagi perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC), sebentar tadi.


Atletico tidak menunjukkan sebarang belas kasihan di New Jersey, Amerika Syarikat itu apabila anak buah Diego Simeone itu mendahului 5-0 dalam babak pertama, tiga daripadanya hasil sumbangan hatrik Costa.

Penggempur baru yang dibawa masuk daripada Benfica, Joao Felix, menjaringkan gol pertamanya sebelum membantu menghasilkan dua lagi jaringan tatkala Angel Correa turut menemui sasaran dalam aksi yang dikuasai sebelah pihak di Stadium MetLife.

Costa mencipta keserasian dengan Felix untuk menambah gol keempat peribadi enam minit selepas rehat sebelum dia dibuang padang akibat pergaduhan dengan Dani Carvajal.

Vitolo menyumbat gol solo sensasi pada minit ke-70 selepas Nache Fernandez mengurangkan defisit ketika aksi memasuki tempoh sejam, sambil pemain gantian, Karim Benzema, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85 dan Javi Hernandez mencipta gol lewat.

Atletico jelas garang sejak awal permainan dan naib juara liga musim lalu itu memecah kebuntuan ketika permainan baru berusia 43 saat apabila Joao Felix mencipta hantaran kemas untuk Costa melepaskan rembatan yang menewaskan Thibaut Courtois.

Ia memberi petanda tatkala Felix menjadikan kedudukan 2-0, kurang tujuh minit kemudian -- selepas bekas pemain muda Benfica itu melepasi Marcelo dan melakukan tendangan jarak dekat -- susulan aksi licik Saul Niguez mencipta hantaran ke dalam petak penalti.

Selepas Alvaro Morata terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan betis, penggantinya, Correa, yang dikaitkan ke AC Milan menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-19 menerusi sepakan voli melepasi Courtois.

Tatkala Felix dan Costa terus memberikan ancaman buat lawan, malang bertimpa buat Madrid selepas pemain yang baru ditandatangani, Luka Jovic, dilihat mengalami kecederaan lutut dan terpaksa digantikan selepas berlanggar dengan penjaga gol Atletico, Jan Oblak.

Masalah di bahagian benteng Madrid sekali lagi terserlah pada minit ke-28 selepas Saul mendapatkan bola yang datang daripada hantaran tidak kemas Ramos sebelum menolak kepada Costa dan bekas penggempur Chelsea itu tidak membuat sebarang kesilapan menjadikan kedudukan 4-0.

Hermoso dan Thomas Lemar juga hampir meletakkan nama dalam senarai penjaring sambil Vinicius Junior menggegarkan palang gawang Atletico. Namun, Atletico menyumbat gol kelima sebelum rehat selepas Costa melengkapkan hatrik yang hadir menerusi sepakan penalti susulan kesalahan yang dilakukan Isco.

Atletico tidak memperlahankan rentak apabila permainan bersambung, menyaksikan Felix dan Costa terus mencipta gandingan ampuh menembusi pertahanan Los Blancos dan penyerang berusia 30 tahun itu mudah menewaskan Keylor Navas pada minit ke-51.

Eden Hazard gagal mencipta sebarang impak dalam babak pertama tetapi bintang Belgium itu mempamerkan kecemerlangan untuk membantu Madrid mendapatkan gol selepas sejam perlawanan, dengan melakukan hantaran lintang ke dalam petak penalti untuk disudahkan Nacho.

Lima minit kemudian, keadaan menjadi tegang selepas pemain daripada kedua-dua pasukan bertegang urat sehingga menyebabkan Costa dan Carvajal diperintah keluar padang.

Keadaan menjadi lebih buruk buat Madrid apabila Vitolo mencuri bola daripada dua pertahanan di tengah padang, menewaskan dua pemain lawan sebelum gerakan solo itu berakhir dengan jaringan ketika permainan berbaki 20 minit.

Atletico jelas belum puas dan mereka seharusnya menambah dua atau tiga lagi gol tetapi benteng lawan kali ini lebih bersedia tatkala Benzema dan Hernandez menambah gol buat Madrid pada lewat permainan.

 

Advertisement

Must Watch Video