Skip to main content

Bola Sepak

Emery tidak salahkan Leno

bernd-leno.jpg
WOLVERHAMPTON WANDERERS 3 ARSENAL 1

Pengurus Arsenal, Unai Emery, enggan menyalahkan aksi buruk penjaga golnya, Bernd Leno, selepas ditewaskan 1-3 oleh Wolverhampton Wanderers dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux, awal pagi tadi.


Ruben Neves menjaringkan gol sepakan percuma gemilang untuk meletakkan Wolves di depan dengan Matt Doherty dan Diogo Jota turut menemui sasaran dalam separuh masa pertama.

Leno tersalah jangkaan ketika Castro Otto melakukan hantaran lintang yang membantu gol Doherty sebelum terlalu mudah ditewaskan Jota sebelum tamat babak pertama.

Walaupun Arsenal meraih gol sagu hati menerusi penyudah Sokratis Papastathopoulos pada lewat permainan, peluang mereka untuk ke Liga Juara-Juara Eropah semakin tergugat selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

Emery, bagaimanapun, memilih untuk tidak menuding jari kepada Leno selepas Arsenal berdepan kekalahan terbesar kepada pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana sejak 1994.

"Saya tidak mahu bercakap tentang individu. Kami perlu kembali bersatu dan bukannya menyalahkan seorang pemain sama ada di bahagian serangan atau pertahanan," katanya dalam sidang media.

"Kami perlu mencari jalan untuk memulihkan keyakinan dan prestasi terbaik kami.

"Apabila kami berada pada waktu terburuk, kami perlu bangkit untuk melihat segala kemungkinan yang kami ada ketika ini.

"Dalam dua perlawanan lalu, kami kehilangan pilihan terbaik, namun dalam tiga perlawanan terakhir musim ini, kami akan bermain dengan segala kemungkinan yang ada," katanya.

Arsenal tewas enam daripada 10 perlawanan terakhir di laman lawan dalam saingan liga dan Emery meluahkan kekecewaannya terhadap aksi buruk pasukannya.

"Kebiasaannya, saya amat kritikal terhadap diri saya.

"Saya marah kepada diri saya ketika kami tidak melaksanakan perancangan yang saya rancang.

"Idea saya, cara saya adalah untuk memandang ke depan dan mencari penyelesaian, bukan tentang siapa pemain yang beraksi paling buruk atau tidak melakukan apa yang kami rancangkan.

"Pertama sekali, saya akan memikirkan penyelesaian.

"Ia tentang perlawanan Ahad ini dan segala kemungkinan untuk kami kembali beraksi baik dan mendapatkan tiga mata.

"Apabila kami menang, kami memenanginya bersama-sama.

"Apabila kami tewas, kami tewas bersama-sama 

"Secara umum, saya berasakan yang kami masih berpeluang untuk berada di tangga empat teratas.

"Kami terlepas peluang untuk memastikannya, namun kami akan meneruskannya dengan mengambil peluang dalam perlawanan Ahad ini," tambahnya.

Wolves menjadi pasukan baru pertama mengumpul 50 mata dalam Liga Perdana sejak Birmingham melakukannya dalam musim 2009-10.

Pengurus, Nuno Esprito Santo, memuji prestasi yang dipamerkan pasukannya untuk meraih kemenangan pertama sejak tewas kepada Watford dalam separuh akhir Piala FA, dua minggu lalu.

"Menentang setiap pasukan adalah sukar, namun Arsenal memiliki pemain berkualiti.

"Ia memerlukan kami untuk beraksi lebih tersusun, lebih banyak berlari, bertahan untuk memenangi bola dan melakukan sesuatu.

"Pertama sekali, kami perlu beraksi tersusun.

"Pergerakan dengan bola amat penting dan perlu tahu di mana kami boleh memenanginya, di mana kami perlu pergi dan memberikan masalah buat mereka.

"Kami melakukannya dengan amat baik dalam separuh masa pertama tetapi tidak terlalu baik dalam babak kedua.

"Kami berdepan situasi empat lawan dua di mana kami perlu melakukan keputusan yang lebih tepat.

"Namun, ia tentang aksi tersusun dan pembentukan pasukan.

"Saya amat berbangga dengan cara kami bekerja, cara pemain melibatkan diri dan memberikan komitmen untuk beraksi baik.

"Itu yang membuatkan saya berasa bangga, tentang keyakinan kami terhadap diri sendiri.

"Ia persembahan yang baik ketika berdepan lawan yang sukar.

"Separuh masa pertama amat baik, separuh masa kedua tidak terlalu baik, namun dimainkan dengan cara yang baik.

"Jika dilihat kepada keseluruhan permainan, saya berasakan pemain saya telah berusaha keras," katanya.

Advertisement

Must Watch Video