Skip to main content

Bola Sepak

Emery: Tidak ke Liga Juara-Juara beri kesan terhadap pengambilan pemain

unaiemery.jpg
Unai Emery mengakui kegagalan Arsenal ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan akan memberikan impak terhadap usaha mereka dalam pasaran pemain, namun mempertahankan perkembangan kelabnya.

Arsenal tewas 1-4 kepada Chelsea dalam final Liga Europa di Baku, awal pagi tadi, sekali gus gagal ke saingan peringkat kelab tertinggi benua berkenaan.

Emery berkata terlepas slot ke Liga Juara-Juara akan menyukarkan pasaran pemain Arsenal dalam jendela perpindahan yang akan datang.

"Mungkin, namun kami adalah pasukan yang besar. Saya berasakan Arsenal merupakan nama besar dalam dunia bola sepak dan ramai pemain mahu beraksi di sini," katanya dalam sidang media 

"Kami berada dalam satu proses dan kami memerlukannya untuk menjadi lebih kuat.

"Ketika kami memulakan musim ini, ideanya adalah untuk menjadi lebih kompetitif seperti satu pasukan, untuk bersaing dengan kelab-kelab lain dan itulah yang kami sedang lakukan.

"Buat masa ini, ia belum cukup untuk mencapai sasaran kami, namun kami akan terus berusaha untuk memikirkannya.

"Tentang perpindahan, saya tidak tahu tentang musim depan, namun kelab ini sedang berusaha untuk meningkat dan akan mengambil apa yang kami perlukan untuk melakukannya.

"Juga, kami mempunyai ramai pemain yang mempunyai potensi untuk meningkat.

"Kami menggunakan ramai pemain muda untuk mereka merasai suasana final buat kali pertama.

"Saya amat positif tentang masa depan kami, mencipta cara kami dan menjadi lebih baik dengan cara kami," katanya.

Eden Hazard menjaringkan dua gol selepas Olivier Giroud dan Pedro membuka jaringan buat Chelsea.

Alex Iwobi pula merapatkan kedudukan kepada 1-3 buat Arsenal.

Emery berkata walaupun pasukannya tumbang dalam aksi final itu, dia percaya Arsenal telah banyak meningkat sepanjang musim ini.

"Kami tahu ia akan menjadi sukar dan kami sedang menjalani proses.

"Saya mahu memberitahu kesemua penyokong bahawa kami sedang melalui proses itu.

"Benar, sasaran utama kami tidak dapat dicapai tahun ini, namun saya fikir kami sudah semakin hampir.

"Yang pertama dalam Liga Perdana dan yang kedua adalah dalam kejohanan ini di mana kami layak ke final.

"Tahun depan merupakan cabaran lebih besar untuk meningkat ke satu tahap lagi dengan cara kami dan keinginan kami terhadap pemain muda.

"Kami kecewa tetapi secara umumnya, saya berasakan kami sudah mara selangkah untuk meningkat dan bersaing.

"Kami perlu meningkat satu tahap lagi musim depan," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video