Skip to main content

Bola Sepak

Dybala tetap kenang jasa Higuain

dybala-higuain.jpg
Bintang Juventus, Paulo Dybala, mengucapkan selamat jalan kepada Gonzalo Higuain selepas pemain berusia 31 tahun itu menyempurnakan perpindahannya ke AC Milan.

Penyerang Argentina, Higuain, menyertai Rossoneri dengan perjanjian pinjaman semusim dengan bayaran awal €18 juta (RM85.1j) selepas selesai menjalani ujian kesihatan semalam. 

Bekas pemain Real Madrid dan Napoli itu terbabit dengan pertukaran di samping Mattia Caldara manakala Leonardo Bonucci menuju ke arah yang bertentangan.

Dybala menjadi rakan gandingan Higuain di bahagian serangan sepanjang dua musim di Turin dengan kedua-duanya turut terlibat dalam skuad Piala Dunia 2018 bersama Argentina, lalu mengeratkan lagi jalinan persahabatan mereka. 

Menerusi media sosial, Dybala menulis: "Selamat maju jaya saudaraku. Ia merupakan kenangan manis untuk berkongsi kemenangan, jaringan dan gelaran!"

Gandingan mereka meledak 73 gol sepanjang dua musim dalam kancah Serie A yang menyaksikan Juve meneruskan dominasi mereka di Itali.

Advertisement

Must Watch Video